PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain tetap berpuas hati dengan prestasi skuadnya yang memberikan tentangan sengit sehingga ke wisel penamat biarpun akur tewas 0-1 kepada Selangor FC pada aksi Liga Super 2023 pada malam Sabtu.
Kekalahan tersebut menyaksikan peluang Sang Kenari untuk melangkah ke pentas Asia tertutup dan slot Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan itu menjadi milik The Red Giant yang sah muncul naib juara Liga Super.
Jelas Nafuzi, semua pemainnya telah memberikan segala-galanya pada perlawanan itu namun jaringan tunggal Ayron Rodriguez pada minit ke-64 menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
“Saya sangat berpuas hati sebab berada dalam kedudukan ‘top 4’ Liga Super dengan tahun pertama saya dan pemain baru. Dengan komitmen pemain sejak dari awal musim hingga sekarang saya cukup berpuas hati.
“Jika kita bandingkan empat pasukan teratas, Kedah adalah satu-satunya pasukan yang tiada pemain tempatan kebangsaan. Kita tengok Sabah FC, Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim mereka mempunyai ramai pemain tempatan kebangsaan dalam pasukan.
“Penjaga gol Kalamullah kadang-kala dipanggil ke kem negara, tetapi itu pun kadang-kala sahaja,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.
Menurut Nafuzi, pada perlawanan tersebut, pemainnya telah memberikan segalanya untuk mencipta ruang dan peluang mencetak gol namun nasib tidak berpihak buat Sang Kenari.
“Kita juga berpeluang untuk menjaringkan gol tetapi tidak berjaya dan Selangor yang berjaya jaringkan gol. Pemain terus mencuba sampai wisel penamat tapi tidak berjaya. Dari segi komitmen dan persembahan pemain saya cukup berpuas hati dengan persembahan mereka,” ujar beliau.
sumber:- SH
KDA FC bakal menutup tirai kempen Liga Super pada musim ini dengan berkunjung ke Borneo untuk bertemu Sabah FC pada 17 Disember hadapan.