sukan

Kejuaraan pertama sejak sekian lama

PDRM FC menjulang Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023 selepas mengetepikan Kuching City FC (KCFC) 4-1 secara agregat dalam dua aksi final dihadapi kedua-dua pasukan.

Berbekalkan kelebihan tiga gol hasil final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu lalu, skuad ‘The Cops’ terikat 1-1 menentang KCFC pada aksi final kedua di Stadium Negeri, malam tadi.

Ini adalah trofi ketiga buat PDRM FC dalam kancah domestik selepas mereka sudahpun memenangi kejuaraan Liga Perdana pada musim 2007 dan 2014 sebelum ini.

Pada aksi terbabit, peluang pertama jatuh kepada tuan rumah seawal minit ketiga namun tandukan Aylton Ferreira berpunca daripada sepakan percuma sekadar melewati palang PDRM FC.

Penyerang KCFC, Abu Kamara terlepas peluang mengurangkan defisit selepas percubaannya yang berada di hadapan gol PDRM FC pada minit ke-27 tersasar tinggi.

Asakan tuan rumah membuahkan hasil selepas mereka berjaya meledak gol pertama menerusi rembatan deras Petrus Shitembi pada minit ke-32 untuk menjadikan kedudukan 1-3 secara agregat.

Bersambung babak kedua, PDRM FC kembali berkelebihan tiga gol apabila rembatan deras Uche Agba dari luar kotak penalti menewaskan Wan Muhammad Azraie Wan Teh pada minit ke-56.

sumber:- BH

Tiada tambahan jaringan dapat disaksikan sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Piala Cabaran MFL 2023 menjadi milik PDRM FC.