sukan

Sah ke Asia dalam aksi penuh Dramatik

Jaringan tunggal Ayron del Valle memastikan Selangor membawa pulang tiga mata berharga di laman lawan untuk memastikan tiket Liga Juara-Juara (ACL) 2 menjadi milik mereka.

Suasana rancak di Stadium Darul Aman menghasilkan sorakan menggamit venue keramat Sang Kenari dan Gergasi Merah Kuning untuk mempergayakan permainan yang cukup berkualiti.

Mana tidaknya, Kedah dan Selangor masing-masing menghasilkan lapan serta tujuh percubaan sepanjang separuh masa pertama sekaligus menyaksikan pertembungan kedua-dua pasukan dilabel sebagai ‘Match of The Season’.

Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, membawa masuk Brendan Gan bagi menggantikan Mukhairi Ajmal untuk menghadirkan kualiti dari sudut pengalaman di jentera tengah Selangor.

Dan percaturan itu membuahkan hasil buat pelawat apabila hantaran silang Brendan berjaya ditampan masuk Ayron pada minit ke-62.

Kelebihan satu jaringan ternyata mengubah landskap perlawanan di Stadium Darul Aman, namun Kedah tidak berputus asa dalam usaha mendapatkan jaringan penyamaan.

Aksi cemerlang penjaga gol Kedah dan Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi serta Samuel Somerville, terus menjadi hiburan apabila menafikan deretan peluang kedua-dua pasukan sehingga tamat perlawanan yang memihak Selangor.

sumber:- SA

Kemenangan tersebut menyaksikan The Red Giants memastikan mereka menamatkan saingan di tempat kedua Liga Super sekaligus membawa cabaran Malaysia ke pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2 musim hadapan.