sukan

Tak mustahil tumbangkan JDT

Sri Pahang FC menjangkakan tentangan sengit bakal dihadapi skuad itu apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Justeru, penjaga gol Tok Gajah, Zarif Irfan Hashimuddin, berkata dia bersama rakan sepasukan perlu lebih bersedia berdepan serangan skuad Harimau Selatan itu.

“Saya jangkakan JDT akan mempamerkan persembahan terbaik terutama mereka mahu mengutip tiga mata. Pada masa sama mereka baharu sahaja tewas 0-5 di tangan kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL), Selasa lalu.

“Oleh itu kami perlu lebih berwaspada dan bekerja keras untuk memastikan tidak kehilangan mata selepas tewas dua perlawanan berturut-turut di tangan PDRM FC dan Penang FC.

“Bagi saya peluang untuk mencatat kemenangan 50-50 tetapi ia tidak mustahil dilakukan untuk menamatkan kedudukan terbaik dalam Liga Super musim ini,” katanya.

Ditanya pemain Harimau Selatan yang perlu diawasi Ahad ini, Zarif Irfan berkata, mereka adalah Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri, Juan Muniz dan Bergson Da Silva.

Katanya, kelebihan yang dimiliki JDT perlu disekat untuk memastikan keputusan positif diraih Sri Pahang di hadapan penyokong Tok Gajah.

“Beraksi di halaman sendiri dengan sokongan diberikan peminat, kami akan berusaha yang terbaik untuk memberikan tentangan kepada JDT,” katanya.

sumber:- HM

Dengan berbaki dua perlawanan saingan Liga Super musim ini, skuad kendalian Fandi Ahmad berada di kedudukan kelima dengan mengutip 44 mata selepas mengharungi 24 perlawanan.