sukan

Safawi Rasid menerima berita paling menyedihkan

Bintang bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menerima berita paling menyedihkan apabila ayahnya, Rasid Sulung sudah meninggal dunia.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Safawi di hantaran Instagram (IG) Story miliknya dan meminta orang ramai menghadiahkan Al-Fatihah kepada ayahnya.

“Assalamualaikum. Mohon sedekahkan Al- Fatihah kepada Ayah saya yang pergi menemui Ilahi sebentar tadi dan semoga beliau dicucuri rahmat Al-Fatihah (Rasid Sulong),” tulisnya di IG Story.

Mengikut rekod, sejak 2018, kesihatan ayahnya mula kurang baik dan Safawi akan cuba mencuri masa pulang dari Johor ke Terengganu untuk melihat keadaannya.

Pemergian ayah tercinta di saat sebegini sudah pasti memberi impak sangat besar kepada dirinya yang dalam persiapan untuk menentang negeri kelahirannya, Terengganu di final Piala Malaysia pada 8 Disember nanti.

Ayahnya adalah tulang belakang kepada kejayaan Safawi selama ini dan sentiasa memberi kata-kata semangat untuk dirinya terus berjaya dalam sukan bola sepak.

Sementara itu, IG Story isteri Safawi, Syifa Melvin berkongsi video pendek menunjukkan seperti mereka dalam perjalanan pulang ke Terengganu pada pukul 1.44 pagi sebaik sahaja menerima berita menyedihkan itu.

sumber:- HM

“Abah kembali ke negeri abadi, rehatlah abah sehingga berjumpa di syurga nanti. Al-Fatihah,” kata Syifa melalui perkongsian di IG story miliknya.