sukan

Pang Ron-Su Yin selangkah muncul Juara buat kali kedua

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin semakin hampir merangkul gelaran kedua berturut-turut selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Antarabangsa India Syed Modi di Lucknow, hari ini.

Pasangan itu yang beraksi dalam kejohanan ketiga mereka mara selepas menewaskan gandingan Taiwan, Chang Ko Chi-Lee Chih Chen 23-21, 21-15 pada aksi suku akhir yang berlangsung selama 37 minit.

Kemenangan itu menyaksikan mereka menempah pertemuan dengan pilihan kelima dari Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo bagi perebutan tiket ke final, esok.

Dua minggu lalu, Pang Ron-Su Yin meraih gelaran pertama mereka sebagai pasangan selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak.

Sementara itu, beregu lelaki, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri tidak perlu bermandi peluh bagi mengesahkan slot ke separuh akhir selepas lawan mereka yang juga rakan senegara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi menarik daripada aksi suku akhir, hari ini.

Difahamkan, Roy King mengalami kecederaan sekali gus tidak dapat turun beraksi dalam perlawanan hari ini.

Dalam saingan perseorangan wanita pula menyaksikan wakil negara, Wong Ling Ching gagal meneruskan kemaraan selepas tunduk di tangan pemain Taiwan, Wen Chi Hsu 21-19, 17-21, 15-21.

sumber:- BH

Nasib sama turut dialami pemain perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven yang terpaksa akur dengan kekalahan di tangan pemain Perancis, Alex Lanier 16-21, 17-21.