sukan

Liverpool menang besar mara ke pusingan 16 terakhir

Dua gol jaringan Cody Gakpo membawa Liverpool ke pusingan 16 terakhir Liga Europa selepas kemenangan 4-0 ke atas LASK, manakala Brighton mara ke pusingan kalah mati itu dengan menewaskan AEK Athens 1-0.

Skuad kendalian Jurgen Klopp mengesahkan tempat teratas Kumpulan E hasil jaringan Gakpo, Luis Diaz dan Mohamed Salah di Anfield.

Pasukan di tangga kedua, Toulouse yang seri 0-0 dengan Union Saint-Gilloise, membolehkan Klopp merehatkan pemain-pemain tonggaknya untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

Juara kumpulan Liga Europa akan mara ke pusingan kalah mati secara automatik, manakala naib juara akan beraksi dalam play-off secara timbal balik pada Februari menentang pasukan di tempat ketiga kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.

“Perkara paling penting ialah kami menerajui kumpulan dan ia tidak akan berubah, jadi ia sangat baik. Persembahan juga baik pada perlawanan ini tetapi sepatutnya kami boleh mendahului selesa sebelum rehat.

“Kami tidak melakukannya, tetapi kemenangan 4-0 sangat menakjubkan,” kata Klopp yang melakukan sembilan pertukaran ke atas skuad yang seri menentang Manchester City pada Sabtu.

Diaz meledak gol pertamanya di Anfield sejak Ogos selepas menanduk hantaran lintang Joe Gomez pada minit ke-12.

Tiga minit selepas itu, dia mencetus gerakan untuk jaringan Gakpo, apabila hantarannya menemui Salah yang membuat umpanan untuk gol kedua Liverpool.

Salah menambah derita lawan dari Austria itu dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-51 untuk gol ke-13 dirinya musim ini.

Penyerang Belanda, Gakpo melengkapkan kemenangan dengan jaringan dalam masa kecederaan.

Brighton yang beraksi di pentas Eropah buat pertama kali, meneruskan cabaran mereka hasil jaringan Joao Pedro di Greece.

sumber:- BH

West Ham turut mara ke pusingan kalah mati selepas jaringan minit ke-89 Tomas Soucek memastikan kemenangan 1-0 ke atas Backa Topola di Serbia. – AFP