sukan

Tak patut bedal JDT

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak seharusnya dihentam teruk sehingga digelar ‘jaguh kampung’ selepas tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 di Stadium Kawasaki Todoroki pada Selasa.

Kekalahan tersebut menyaksikan hasrat juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu untuk mara ke saingan kalah mati terkubur biarpun saingan peringkat kumpulan masih berbaki satu perlawanan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Razman Roslan berkata, JDT sudah memberikan yang terbaik, namun tidak bernasib baik tewas dua perlawanan kepada Kawasaki Frontale yang sememangnya memiliki kualiti lebih baik.

Menurutnya, JDT juga mampu memberikan saingan dalam peringkat kumpulan apabila berjaya membenam kelab Thailand, BG Pathum United sebelum turut melakar kemenangan ke atas wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

“Saingan ACL ini bukan calang-calang kejohanan kerana diisi oleh pasukan yang terbaik di Asia. Mana-mana pihak yang nak kritik JDT pun kena lihat situasi sebab sebelum ini mereka juga pernah menang dengan Ulsan Hyundai yang juga gergasi dalam Liga Korea.

“Daripada situ kita dapat lihat kualiti yang ada pada JDT. Saya tengok dari segi permainan JDT boleh mencabar Kawasaki Frontale dengan ada juga percubaan yang dicipta, cuma keputusan tidak memihak kepada mereka.

“Sepatutnya kita sebagai peminat mahupun penyokong bola sepak Malaysia bukan mengkritik, sebaliknya terus memberikan sokongan kepada JDT.

“Mereka satu-satunya pasukan wakil dari Malaysia di pentas tersebut dan mengharapkan mereka mampu melangkah lebih jauh pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Untuk rekod, JDT melakar dua kemenangan ke atas BG Pathum United serta Ulsan Hyundai untuk berada di kedudukan ketiga Kumpulan I dengan enam mata.

Skuad Harimau Selatan akan melengkapkan aksi Kumpulan I menentang BG Pathum di Stadium Sultan Ibrahim pada 12 Disember yang mana Kawasaki dan Ulsan sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

Untuk rekod, pencapaian terbaik JDT di pentas ACL adalah mara ke pusingan 16 terbaik pada musim 2022 sebelum langkah mereka terhenti ditundukkan kelab terkemuka Jepun, Urawa Red.

sumber:- SH

Dalam pada itu, Razman percaya JDT akan tampil lebih baik dalam saingan ACL 2024 selepas terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal musim ini. “Sasaran JDT ini bukan sahaja untuk masuk ke ACL, sebaliknya untuk perbaiki kelemahan mereka. Itu memang sikap dan visi pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” jelasnya.