sukan

‘Hati-hati sek bua mari pulok’ — barisan pemain

Barisan pemain Kelantan FC tampil bersuara menyanggah dakwaan Ketua Pegawai Eksekurif skuad The Red Warriors (TRW), Ahmad Muzakkir Hamid yang mendakwa sudah menyelesaikan tunggakan gaji hampir 90 peratus.

Antara menafikan perkara itu adalah Muhaimin Izudin di laman Story Instagramnya, yang mengakui masih tidak menerima pembayaran gaji tertunggak sejak Ogos lalu.

Malah, katanya, bayang-bayang tunggakan itu masih belum kelihatan biarpun Muzakkir memaklumkan sudah membayar 90 peratus tunggakan.

“0.5% tak nampak bayang. Ini pula nak 90% ingin selesai!!! Cukup laa pusing. “ore kelate panggil hati-hati sek bua mari pulok”. Maaf 8 (bulan) hingga kini belum,” katanya di laman sosial.

Pendedahannya itu kemudian dikongsikan seorang lagi rakan sepasukan, Fazrul Amir, juga di Story Instagramnya.

“Masih berbual,” tulis Fazrul, sekali gus mengiyakan kegagalan pihak pengurusan TRW dalam menangani isu tunggakan gaji membabitkan pasukan itu.

Masalah itu pastinya memberi kesan negatif buat Kelantan FC yang sebelum ini diberikan tempoh sehingga esok oleh badan bebas pelesenan kelab Liga Malaysia iaitu First Instance Body (FIB) untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji.

Pada 22 November lalu, Kelantan FC menjadi satu-satunya pasukan belum mendapat lesen kebangsaan bagi musim 2024/25, namun mereka masih memiliki ‘talian hayat’ terakhir untuk kekal beraksi di divisyen utama itu musim depan.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menjelaskan keputusan untuk pemberian lesen kebangsaan kepada skuad TRW itu ditangguhkan sehingga 30 November ini, sekali gus memberi peluang mereka menyelesaikan langkah sepatutnya.