Johor Darul Ta’zim (JDT) memerlukan keajaiban untuk melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini selepas dibelasah 0-5 oleh Kawasaki Frontale dalam aksi Kumpulan I di Stadium Kawasaki Todoroki, sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan JDT tiada pilihan lain apabila wajib memenangi aksi terakhir menentang BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan jumlah jaringan besar tanpa bolos pada 12 Disember ini.
Malah, skuad Harimau Selatan perlu mengharapkan kelab Korea Selatan dari Ulsan Hyundai tewas di tangan Kawasaki Frontale bagi membuka peluang buat anak buah Esteban Solari menamatkan aksi di tangga kedua kumpulan.
Ketika ini, juara Liga Super Malaysia 10 kali berturut-turut mengumpul enam mata daripada lima aksi untuk berada di belakang Kawasaki Frontale 15 mata dan Ulsan Hyundai yang menghimpun sembilan mata.
Dalam aksi itu, JDT ketinggalan seawal minit kelapan menerusi jaringan mudah Akihiro Ienaga yang menolak hantaran Takuma Ominami bagi menewaskan Syihan Hazmi.
Anak buah Solari cuba bangkit melalui beberapa percubaan termasuk rembatan jarak jauh Bergson da Silva di minit 38 namun berjaya ditepis Jung Sung-ryong.
Bersambung babak kedua, JDT terus gagal memberi saingan apabila juara J League empat kali itu menambah gol kedua menerusi penyerang import, Leandro Damiao pada minit ke-50.
Biarpun Bergson cuba membalas dengan rembatan leret seminit selepas itu, skuad Azzuro Nero yang dilatih Toru Oniki itu terus menghukum kelonggaran benteng JDT apabila Marcinho melakukan tandukan terbang untuk gol ketiga di minit 60.
Tuan rumah terus mengukuhkan kedudukan sembilan minit kemudian dengan gol keempat apabila pemain gantian Yu Kobayashi menyambut hantaran silang Daiya Tono.
Kawasaki Frontale yang menang 1-0 di SSI pada aksi pertama pada 19 September lalu terus menambah derita kem JDT dengan gol kelima yang diraih menerusi percubaan cantik Miki Yamane.
sumber:- HM
Menerusi kemenangan itu, Kawasaki Frontale mengesahkan kemaraan dari Kumpulan I manakala Ulsan Hyundai hanya memerlukan seri di perlawanan terakhir sementara JDT perlu menang dengan jaringan besar.