KL City FC menamatkan kemarau kemenangan selepas lima perlawanan apabila menewaskan Kelantan United (KUFC) 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Keputusan itu membolehkan skuad bimbingan Nenad Bacina melonjak ke tangga ketujuh Liga Super dengan 34 mata, mengetepikan PDRM FC menerusi perbezaan jaringan.
Pada aksi terbabit, KL City bermula garang namun Paulo Josue terlepas peluang terbaik untuk membuka jaringan apabila tampanannya pada minit ke-14 tidak menemui sasaran selepas menyambut hantaran lintang Kamal Azizi Zabri.
Gol diburu tuan rumah hadir pada minit ke-20 selepas percubaan Romel Morales yang terkena tiang jatuh kepada Matko Zirdum yang menyudahkannya dengan satu tandukan untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Penjaga gawang, Muhamad Ilham Amirullah Razali memastikan KUFC tidak ketinggalan jauh memasuki 30 minit perlawanan apabila cemerlang menafikan percubaan Patrick Reichelt pada minit ke-28.
Jentera serangan KL City jelas tidak menjadi apabila rembatan Josue terlalu tinggi pada minit ke-35 dan 10 minit kemudian percubaan Morales melambung meskipun berada pada kedudukan yang baik untuk meledak gol.
Bersambung babak kedua, KL City terus mendominasi perlawanan namun seperti babak pertama, beberapa gerakan yang dilancarkan tidak cukup untuk menggegar gawang KUFC buat kali kedua.
KUFC juga beroleh peluang mengancam kubu tuan rumah namun rembatan Ismaheel Akinade pada minit ke-55 dan 57 tidak mendatangkan masalah kepada Muhamad Azri Ghani.
Selepas beberapa kali terlepas sasaran, Josue akhirnya menemui pintu gol apabila rembatan leretnya menghadiahkan gol kedua KL City pada minit ke-68.
sumber:- BH
Pemain gantian, Tchetche Kipre melengkapkan malam bergaya tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-78 sekali gus menyaksikan tiga mata menjadi milik tuan rumah.