sukan

TFC nafi saja beri kemenangan

Pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menafikan skuadnya sengaja ‘menghadiahkan’ kemenangan kepada Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat lalu.

Sebaliknya Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sabri Abas berkata, kekalahan kedua terbesar musim ini itu adalah disebabkan kecederaan yang dialami ramai pemain tonggak sekali gus menyaksikan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner terpaksa menyenaraikan pemain lain dalam kesebelasan utama pasukan.

Katanya lebih parah empat tonggak yang mengalami kecederaan itu adalah pemain pertahanan sekali gus menyebabkan benteng skuad Penyu roboh sebanyak empat kali biarpun beraksi di tempat sendiri.

Berikutan kekalahan itu menyaksikan peminat tidak berpuas hati terhadap taktikal jurulatih memandangkan kekalahan itu hadir di tempat sendiri dengan jumlah jaringan yang begitu besar.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan kita ‘menghadiahkan’ kemenangan percuma kepada skuad Sabah FC bagi memudahkan skuad itu mencabar sekurang-kurangnya tiga kedudukan teratas ketika peluang TFC untuk berada di kelompok empat terbaik sudah tertutup rapat.

“Sebaliknya kecederaan yang dialami ramai pemain pertahanan iaitu Mohammad Shahrul Nizam Ros Hasni, Muhammad Alif Zakaria, Muhammad Azam Azmi Murad dan Muhammad Safwan Mazlan menyaksikan pintu gol mudah dibolosi lawan.

sumber:- BH

“Berikutan itu jurulatih terpaksa mengubah posisi dan taktikal bagi mengimbangi corak permainan pasukan lawan dan bukannya sengaja untuk tewas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Estetika Medispa Sdn Bhd dengan TFC Sdn Bhd di sini malam tadi.