sukan

Komen Klopp insiden Nunez vs Guardiola

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tidak mahu memperbesarkan insiden panas antara penyerang Darwin Nunez dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola selepas keputusan seri 1-1 malam tadi, menyatakan emosi lebih menguasai kedua-duanya.

Gol lewat Trent Alexander-Arnold membantu Liverpool seri untuk mengekalkan mereka satu mata di belakang juara bertahan itu di tangga ketiga dan sejurus wisel penamat Nunez mendekati Guardiola dalam apa yang dilihat sebagai satu pertengkaran besar.

“Ia emosi. Sejujurnya saya tidak pasti saya patut menjelaskannya kerana saya tidak langsung terbabit. Mengejutkan,” kata Klopp, yang menarik Nunez dengan satu pelukan.

“Saya sayang kedua-duanya jadi saya cuba menenangkan keadaan tanpa mengetahui 100 peratus apa yang berlaku kerana saya tidak faham sepatah perkataan pun.”

Klopp menafikan “perseteruan hebat” antara kedua-dua pasukan mencetus insiden itu dan berkata: “Saya tidak fikir Darwin Nunez tahu apa-apa mengenainya.

“Ia emosi. Pep mahu menang, kami mahu menang. Kedua-duanya tidak menang jadi jelas tiada siapa yang benar-benar gembira dan kemudian perkara ini berlaku,” kata pengurus dari Jerman itu.

sumber:- BH

Guardiola tidak banyak mengulas mengenai insiden itu malah sekadar berkata “tiada apa yang berlaku.” – REUTERS