sukan

Selangor FC akhirnya putuskan nasib Cheng Hoe

Sekalipun bakal menamatkan musim 2023 tanpa sebarang trofi, Selangor FC (SFC) dijangka terus memberi kepercayaan ke atas Tan Cheng Hoe untuk membimbing The Red Giants bagi musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan pengurusan gembira dengan peningkatan ditunjukkan pasukan pada musim ini dan mengharapkan dapat mencapai sasaran ditetapkan di hujung musim nanti.

“Setakat ini, kita gembira dan musim pun belum berakhir nanti. Jadi sama ada dapat capai sasaran atau tidak, sejujurnya kami lihat ada perkembangan yang baik terhadap pemain dan pasukan.

“Kami berpuas hati dengan prestasi Cheng Hoe yang baru setahun bersama pasukan dan banyak perkara positif berbanding tahun lalu.

“Untuk itu, kami berharap tahun depan akan jadi lebih baik bersama Cheng Hoe,” kata Johan.

Selepas mengharungi 23 perlawanan tidak termasuk aksi berdepan Perak semalam, SFC berada pada landasan yang baik untuk layak ke saingan Asia musim depan apabila menghuni kedudukan kedua setakat ini.

Dengan 17 kemenangan dan satu keputusan seri, mereka mengutip 52 mata dan kedudukan kedua ketika ini jelas lebih baik berbanding tempat kelima yang diraih mereka musim lalu.

Bagi saingan Piala FA, SFC mara sehingga ke separuh akhir selepas langkah mereka disekat Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0.

sumber:- BH

Selain itu, mereka juga mara sehingga ke suku akhir Piala Malaysia namun gagal ke separuh akhir apabila tewas 1-3 secara agregat.