Kemenangan ke atas Perak di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini sangat penting buat Selangor dalam usaha memburu gelaran naib juara Liga Super musim ini.
Malah, keputusan perlawanan itu bakal menjadi ‘modal’ buat Gergasi Merah untuk dibawa berdepan pesaing utama gelaran naib juara, Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Darul Aman, 2 Disember ini.
Apa tidaknya, skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang mengumpul 52 mata dan berada di kedudukan kedua liga ketika ini hanya dibezakan dua mata daripada Sang Kenari di tangga ketiga.
Senang cerita, Selangor wajib mengatasi Perak supaya tidak mengganggu perjalanan mereka meraih gelaran naib juara dan meraih slot ke pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun hadapan.
Bagaimanapun, mereka dijangka tidak akan berdepan laluan mudah berdasarkan peningkatan prestasi yang dipamerkan skuad Bos Gaurus ketika ini.
Perkara itu turut diakui Cheng Hoe yang menyifatkan Perak menunjukkan peningkatan besar di bawah kendalian Yusri Che Lah selain dibantu dengan kehadiran pemain import baharu.
“Memang bukan mudah untuk berdepan Perak, pasukan Kedah dan Sabah pun mereka berjaya kalahkan. Jadi kami perlu waspada kerana mereka mampu memberi saingan sengit.
“Kami juga tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif lebih kurang dua bulan dan mungkin aksi berdepan Perak bakal menjadi pertembungan yang sukar.
“Sudah pasti kami mahukan keputusan positif berdepan Perak sebelum menentang Kedah. Kami hanya dibezakan dua mata dengan Kedah dan aksi berdepan Perak penting dalam meningkatkan keyakinan pasukan.
“Apa yang menjadi kelegaan atau berita baik buat pasukan apabila beberapa pemain yang bersama pasukan kebangsaan sebelum ini bebas dari kecederaan,” kata Cheng Hoe.
Selangor dianggap berdepan situasi getir dalam baki tiga perlawanan kerana selain berdepan Perak dan KDA, Gergasi Merah juga akan menentang pasukan yang mengalahkan mereka dua kali musim ini iaitu PDRM dalam aksi terakhir.
sumber:- BH
Malah, perebutan gelaran naib juara antara Selangor dan KDA dilihat akan berlanjutan hingga ke penghujung musim dengan KDA bakal menentang Sabah dalam aksi terakhir meskipun dijangka tiada masalah untuk menambah tiga mata berdepan Kelantan, Ahad ini.