sukan

Sanusi umum berita gembira buat KDA FC

Kerajaan negeri tetap akan terus memberi bantuan kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meskipun pasukan itu sudah diswastakan sepenuhnya bermula tahun ini.

Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri melalui KFA tetap menyuntik kewangan buat KDA FC yang membawa nama Kedah dalam saingan Liga Malaysia anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Kita masih lagi membantu pasukan KDA FC iaitu dari kerajaan negeri ke KFA, kemudian ke KDA FC dan ianya masih lagi, dan jumlahnya pula saya tak boleh nyatakan tetapi kerajaan negeri tetap memberi.

“Berkaitan isu gaji pula kerajaan negeri juga membantu suntikan kewangan walaupun tidak beri semuanya namun KFA akan tolong. Kebanyakan pasukan bola sepak di Malaysia masih diberi sokongan oleh negeri terutama persatuan bola sepak negeri dan kerajaan negeri.

“Kami sentiasa akan menyokong KDA FC dan saya harap mereka akan mampu mencapai hasrat peminat untuk berada di tangga kedua musim ini dan KFA serta semua ahli gabungan akan terus menyokong pasukan KDA FC yang membawa citra Kedah dalam pertandingan MFL,” katanya ketika Majlis Perasmian Wisma KFA petang semalam.

Sementara itu, Sanusi menegaskan walaupun KDA FC menghadapi masalah tunggakan gaji baru-baru ini tetapi banyak lagi pasukan lain yang turut terkesan dengan dugaan kewangan yang disebabkan oleh faktor ekonomi semasa.

“Bukan hanya pasukan Kedah, tetapi banyak pasukan lain juga turut menghadapi masalah dan bukan satu atau dua tapi hingga tujuh ke lapan pasukan terpaksa berhempas pulas untuk memenuhi syarat yang ditetapkan dan semua bergantung pada faktor kewangan.

“Industri bola sepak kita belum capai tahap itu lagi dan walaupun keupayaan kita mungkin sudah sampai setinggi Gunung Jerai tapi syarat yang mereka letak itu pula setinggi Gunung Everest.

sumber:- BH

“Jadi yang ghairah sangat pergi ke tahap itu saya tak tahu siapa, tetapi saya rasa mereka letak setinggi Gunung Everest berbanding Gunung Jerai,” katanya.