sukan

Kim Pan Gon luar biasa

Kim Pan Gon boleh dianggap sebagai ‘hero’ kebangkitan bola sepak Malaysia dengan dia menjadi ‘bos’ Harimau Malaya paling cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia berdasarkan peningkatan mendadak dari segi prestasi Harimau Malaya dan pencapaian terbaik yang dikecapi pengendali dari Korea Selatan itu adalah menamatkan penantian 42 tahun untuk Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit.

Malah, pencapaian itu dilakar Pan Gon hanya kira-kira lima bulan selepas dilantik sebagai pengendali baharu Harimau Malaya pada Januari tahun lalu.

Sepanjang hampir dua tahun bekas jurulatih Hong Kong itu mengendalikan Harimau Malaya, dia merekodkan 18 kemenangan, empat seri dan lima kekalahan dalam 27 aksi antarabangsa.

Kemenangan paling dramatik ketika Harimau Malaya bangkit dari ketinggalan 1-3 untuk mengatasi pasukan ranking ke-97 dunia, Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November lalu.

Kebangkitan itu boleh dianggap luar biasa kerana sudah lama rakyat Malaysia tidak merasai nikmat kemenangan manis dan mendebarkan seperti itu dengan ia menambahkan lagi keyakinan terhadap kepimpinan Pan Gon.

Magis Pan Gon diteruskan dengan Harimau Malaya menewaskan Taiwan 1-0 dalam aksi kedua, Selasa lalu yang mana melakar satu lagi sejarah baharu kerana ia kemenangan pertama Harimau Malaya berdepan pasukan itu di Taipei.

Selain itu, beberapa keputusan positif lain turut diraih anak buah Pan Gon ketika berdepan pasukan di kelompok 100 dunia termasuk bangkit mengikat pasukan di tangga 92 dunia, Syria 2-2 dan seri 1-1 dengan China (79) di gelanggang lawan.

Malah, Harimau Malaya yang berada di ranking 137 dunia berjaya mengatasi pasukan di ranking 102 dunia, India 4-2 dalam aksi Pestabola Merdeka, bulan lalu.

Malaysia menghuni ranking ke-154 dunia ketika Pan Gon mula mengambil alih pasukan pada Januari 2022 dan Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan 137 dunia.

Jika dibandingkan dengan lima jurulatih lain dalam tempoh 14 tahun terakhir persembahan Harimau Malaya, Pan Gon memiliki peratusan meraih kemenangan paling tinggi dengan 66.67 peratus selepas Tan Cheng Hoe (50 peratus).

Bagaimanapun, sumbangan beberapa jurulatih lain sebelum ini tidak boleh dilupakan termasuk Datuk K Rajagobal berjaya membawa Harimau Malaya meraih kejuaraan tunggal di Piala AFF pada 2010, manakala Datuk Dollah Salleh dan Cheng Hoe pula memacu Harimau Malaya meraih gelaran naib juara kejohanan itu pada 2014 dan 2018.

Pengendali dari Portugal, Nelo Vingada berdepan rekod buruk apabila tidak pernah mengecapi sebarang kemenangan sepanjang membimbing Harimau Malaya pada 2017.

sumber:- BH

Tugas besar seterusnya buat Pan Gon adalah menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar, Januari tahun hadapan dengan Harimau Malaya diundi bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Bahrain dan Jordan dalam Kumpulan E.