sukan

Faisal Halim akan ‘disimpan’ selama mungkin

Selangor FC mengesahkan sedang melakukan perbincangan dengan Faisal Halim bagi melanjutkan kontrak penyerang itu bersama Gergasi Merah.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan perbincangan dengan Faisal atau Mickey itu berjalan dengan baik dan menunjukkan petanda positif.

Walaupun belum boleh mengesahkan berapa lama lanjutan kontrak baharu itu, Johan bagaimanapun menjelaskan pihaknya berharap dapat menyimpan Mickey selama yang mungkin.

“Mickey masih pemain Selangor dan dia fokus serta komited untuk menghabiskan musim ini dengan baik. Sekarang ini, kita sedang berbincang dengan dia mengenai kontrak.

“Dalam kontrak dia ada beberapa klausa tertentu tetapi kami sedang berbincang. Ya (bincang untuk melanjutkan kontrak), Mickey adalah pemain penting buat Selangor.

“Sudah pasti kita mahu simpan pemain terbaik di Selangor. Kalau boleh nak simpan dia selama yang mungkin. Kami gembira dengan Mickey dan dia pun gembira dekat Selangor, jadi harap kita boleh lanjutkan.

“Saya tidak boleh nak sahkan (tempoh lanjutan kontrak) sekarang sebab masih dalam perbincangan. Tempoh kita tak tahu lagi, tetapi perbincangan itu positif dan sangat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani kerjasama antara Selangor FC dan Citadel Group Technologies di sini, hari ini.

Persoalan mengenai masa depan Mickey bersama Selangor menjadi tanda tanya selepas terdapat khabar angin yang bermain di media sosial bahawa pemain kebangsaan itu bakal berhijrah ke pasukan lain.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Mickey yang baru menyertai Selangor dari Terengganu musim ini difahamkan ditawarkan kontrak dua tahun bersama Gergasi Merah.

Selain itu, Johan menjelaskan Selangor FC masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perancangan untuk mempersiapkan pasukan musim depan.

“Sekarang ini belum ada apa-apa keputusan yang dibuat, sudah pasti perancangan sudah bermula sebab sekarang pun akhir November.

sumber:- BH

“Namun, kita masih ada lagi tiga perlawanan Liga Super dan ketika ini kita fokus kepada perkara itu. Insya-Allah selepas musim ini tamat baru beberapa keputusan akan dibuat,” katanya.