sukan

Penantian lama Ranking Malaysia akhirnya tamat

Skuad negara terus memperaga aksi gred ‘A’ selepas berjaya memenangi dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan sekali gus mengungguli Kumpulan D.

Dua kemenangan itu membolehkan Harimau Malaya mengaut mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila berjaya menambah 10.66 mata lagi hasil kemenangan ke atas Taiwan yang berada di ranking ke-152 dunia itu.

Berdasarkan kutipan 15.49 mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan sebelum ini, skuad bimbingan Pan Gon berjaya mengutip 26.15 mata hanya daripada dua aksi dan mereka dijangka menutup tahun 2023 dalam kedudukan 120 terbaik dunia.

Menerusi semakan di laman sesawang FIFA, ranking terbaik negara adalah 75 yang dilakar pada 1993 sementara kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 120 terbaik dunia adalah pada 2004 (120).

Skuad Harimau Malaya juga kini ‘separuh jalan’ daripada misi 12 mata minimum yang disasarkan Pan Gon dengan enam mata lagi perlu diburu daripada baki empat aksi yang akan berlangsung, tahun depan.

Malah jika melepasi peringkat berikutnya, Harimau Malaya akan turut menggenggam tiket secara automatik ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.

Berdasarkan dua aksi ini, pertukaran pemain sekali lagi mencetuskan ‘magis’ dengan percaturan yang menjadi daripada Pan Gon apabila pemain gantian menghadirkan impak yang dimahukan.

Tiga pertukaran ketika berdepan Kyrgyzstan mencetuskan kebangkitan dengan kemenangan 4-3 sementara pemain gantian pada aksi malam tadi, Darren Lok meledak gol kemenangan pada minit ke-72.

“Kami tidak boleh mengadu tentang padang kerana kedua-dua pasukan bermain di padang sama. Perkara ini sering terjadi banyak negara dan ini sesuatu yang kami perlu belajar tetapi permainan ini menjadi sukar bukan kerana padang tetapi pemain lawan yang bermain baik.

“Kita akan selamat jika mendapat 12 mata dan kini sudah mendapat enam mata. Perlawanan di tempat lawan sentiasa sukar dan kami perlu lakukan persiapan yang rapi.

“Tahniah kepada rakyat Malaysia kerana kita berjaya menang buat kali pertama di Taipei dan harap dapat kekalkan prestasi untuk dapatkan enam lagi mata yang akan memastikan kita akan ke pusingan ketiga,” katanya.

Cuma sayangnya kemenangan ini dibayangi dengan sentuhan penyudah yang kurang berkesan disulami beberapa keputusan yang kurang tepat daripada pemain ketika menjana serangan pada aksi di Stadium Perbandaran Taipei itu.

Skuad negara sepatutnya boleh ‘kenduri gol’ namun tuah tidak memihak selain beberapa gerakan yang gagal disudahkan dengan baik dan jaringan tunggal pada aksi ini, masih tidak cukup untuk menutup kelemahan ini.

Kelemahan ini pasti membuatkan barisan kejurulatihan ‘tepuk dahi’ sebentar meskipun penghujungnya apa yang mustahak adalah tiga mata dapat dibawa pulang dari tempat lawan.

Berbaki kurang dua bulan menuju ke Piala Asia 2023, banyak lagi perlu dilakukan skuad negara sebelum ke Qatar nanti apatah lagi saingan itu nyata jauh berbeza berbanding pusingan kelayakan yang diharungi sebelum ini.

sumber:- BH

Berakhirnya pusingan kelayakan bagi 2023 dan ia hanya akan berlangsung semula pada Mac tahun depan, fokus pemain boleh terarah sepenuhnya untuk ‘festival’ di Qatar nanti.