sukan

Malaysia separuh jalan cipta sejarah

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon akui kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menyaksikan anak buahnya berada di landasan tepat untuk melepasi halangan pusingan kedua kelayakan itu.

Jelas Pan-gon, enam mata maksimum daripada dua perlawanan Kumpulan D menyaksikan Malaysia sudah separuh jalan menuju sasaran 12 mata untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Malah jika melepasi peringkat berikutnya, skuad negara turut akan menggenggam tiket secara automatik ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027 nanti.

“Kami tidak boleh mengadu tentang padang kerana kedua-dua pasukan bermain di padang sama. Perkara ini sering terjadi di pelbagai negara dan ini sesuatu yang kami perlu belajar tetapi permainan ini menjadi sukar bukan kerana padang tetapi pemain lawan yang bermain baik.

“Kita akan selamat jika mendapat 12 mata dan kini sudah mendapat enam mata. Perlawanan di tempat lawan sentiasa sukar dan kami perlu lakukan persiapan yang rapi.

“Tahniah kepada rakyat Malaysia kerana kita berjaya menang buat kali pertama di Taipei dan harap dapat kekalkan prestasi untuk dapatkan enam lagi mata yang akan memastikan kita akan ke pusingan ketiga,” katanya.

Dalam perlawanan kedua semalam, skuad Harimau Malaya mengekalkan momentum positif apabila membenam Taiwan 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei.

Gol kemenangan itu dihasilkan menerusi ledakan Darren Lok pada minit 72 selepas dia masuk sebagai pemain gantian bagi menggantikan Paulo Josue.

Kejayaan di bumi Taiwan itu yang kedua selepas turut menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu.

Ujar Pan-gon lagi, Taiwan memberi tentangan cukup sengit sepanjang perlawanan namun kemahuan tinggi yang ditunjukkan oleh skuad kendaliannya berjaya menemui jaring tuan rumah.

“Perasaan saya sangat gembira kerana sememangnya kita layak untuk menang. Tahniah kepada pemain dan rakyat Malaysia kerana mereka seharusnya bangga dengan Harimau Malaya.

“Kami sudah jangkakan perlawanan sukar kerana pasukan lawan mempunyai semangat melawan tetapi semangat kami lebih dari lawan dan atas sebab itu kami berjaya atasi halangan sukar ini dan menghampiri pusingan seterusnya dan buatkan saya bangga dan hargai usaha para pemain.

“Kehendak pemain untuk menang adalah punca utama kemenangan ini dan bukannya pertukaran yang saya lakukan. Saya dapat lihat sejak dari babak pertama mereka tunjukkan kehendak itu tetapi kurang bernasib baik kerana tidak berjaya menjaringkan gol lebih awal,” katanya.

sumber:- HM

Ketika ini, Malaysia memimpin carta Kumpulan D selepas Oman tumbang 1-0 di tangan Kyrgyzstan yang berlangsung awal pagi tadi.