sukan

Malaysia muncul negara tunggal dari ASEAN

Kejayaan membawa pulang tiga mata dari Stadium Perbandaran Taipei bukan sahaja meletakkan Malaysia di kemuncak Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026, malah meletakkan Malaysia sebagai negara ASEAN tunggal yang belum tewas selepas perlawanan kedua.

Pertembungan sesama rantau di antara Filipina dan Indonesia berakhir 1-1, sementara Vietnam tewas 0-1 ketika melayani Iraq dalam Kumpulan F.

Thailand pula mengatasi Singapura juga dalam kumpulan sama dengan keputusan 3-1 di tempat lawan.Sebelum ini skuad Gajah Perang tumbang 1-2 kepada China.

Skuad Harimau Malaya sedang mengungguli Kumpulan D selepas dua perlawanan pertama berikutan kemenangan 1-0 Kyrgyzstan ke atas Oman di Bishkek tengah malam tadi.

Jaringan tunggal Odiljon Abdurakhmanov pada minit ke-49 sudah menghukum pasukan di ranking ke-72 dunia itu, sekali gus kembali menghidupkan peluang mereka dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas ditundukkan Malaysia 4-3 di Bukit Jalil Khamis lalu.

Harimau Malaya kini merupakan satu-satunya pasukan tanpa kalah Kumpulan D selepas dua perlawanan dengan mengumpul enam mata sambil diekori Oman menerusi perbezaan gol berbanding Kyrgyzstan.

Chinese Taipei pula yang mencetak dua kekalahan menghuni di tangga tercorot.Barisan negara kendalian Kim Pan Gon itu bakal berhitung dengan Oman dalam perlawanan ketiga kelayakan di Muscat pada 21 Mac tahun depan.