sukan

Komen Pengendali Taiwan selepas kecundang di tangan Malaysia

Gandingan pemain sayap negara nyata membuatkan pengendali Taiwan, Gary White terkesima dengan kepantasan tonggak Harimau Malaya itu hingga menyebabkan pertahanannya tiada jawapan menghalang gerakan sekali gus tumbang 0-1.

Pemain dimaksudkan White adalah Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim yang baginya menjadi duri dalam daging buat skuad Blue Wings itu sepanjang aksi.

“Pemain nombor 12 (Arif Aiman) dan 7 (Faisal Halim) adalah pemain yang hebat, pantas dan bergerak dengan cepat. Mereka memanipulasi ruang sebelah kanan dari awal dibantu pemain nombor 2 (Matthew Davies), jadi apa yang kami buat adalah pastikan kami kekal dalam formasi namun kesilapan individu membenarkan mereka menjaringkan gol,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam perlawanan kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei malam tadi, Malaysia keluar selaku pemenang selepas jaringan tunggal Darren Lok memisahkan kedua-dua pasukan.

“Tahniah kepada Malaysia kerana mendapat tiga mata. Kami dihukum kesilapan individu dan Malaysia mungkin rasa mereka bernasib baik pulang dengan tiga mata tetapi Kim Pan Gon menjalankan tugas dengan baik untuk membina satu skuad terbaik dengan pemain berpengalaman.

“Malaysia membawa semua pemain terbaik untuk kempen kelayakan ini berbeza dengan kami. Tahniah kepada persatuan anda kerana melakukan perkara yang betul dan anda raih kebaikannya kini,” katanya.

sumber:- BH

Menerusi kekalahan itu, Taiwan kini menghuni tangga tercorot selepas sebelum ini turut tumbang 0-3 kepada Oman.