sukan

Komen Pan Gon ‘resepi’ kemenangan Malaysia

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon menyifatkan Harimau Malaya berhak memenangi perlawanan berdepan Taiwan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taiwan, malam ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, ia berdasarkan keinginan dan kesungguhan yang dipamerkan barisan pemainnya sebelum meraih kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan itu.

Katanya, kemenangan itu juga adalah hasil usaha keras semua pemain dan bukannya berpunca daripada pertukaran pemain yang dilakukan pada babak kedua.

“Bagi saya, ini (kemenangan) adalah keinginan daripada pemain untuk menang, bukan kerana pertukaran pemain. Sejak separuh masa pertama lagi pemain menunjukkan keinginan, tetapi mereka kurang bernasib baik tidak dapat menjaringkan gol lebih awal.

“Saya gembira dengan keputusan perlawanan dan saya fikir pemain saya berhak untuk menang malam ini. Tahniah kepada pemain dan rakyat Malaysia pasti bangga dengan mereka.

“Kami sudah jangka ia perlawanan yang sukar, kerana kita tahu bagaimana Taiwan bermain dengan disiplin dan mempamerkan semangat melawan yang tinggi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pemain gantian, Darren Lok muncul wira Harimau Malaya apabila dia meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-72, sekali gus menamatkan badi kekalahan Harimau Malaya di bumi Taiwan.

sumber:- BH

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya mengumpul enam mata selepas turut menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pertama Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu.