sukan

Cipta Sejarah, Kelantan FC mohon maaf

Kelantan FC memohon maaf kepada peminat selepas The Red Warriors (TRW) mencipta rekod terburuk bolos dengan jumlah tiga angka dalam 23 perlawanan Liga Super musim ini.

Kekalahan besar 0-7 kepada Sabah di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi menyaksikan Kelantan kini sudah melepaskan 102 gol dan menjadi pasukan terbanyak bolos dalam sejarah Liga Super bagi semusim.

Rekod bolos terbanyak dalam tempoh semusim Liga Super sebelum ini di dilakar PDRM apabila skuad itu melepaskan 75 gol pada musim 2009.

Kelantan bagaimanapun masih mempunyai baki tiga perlawanan berdepan Kedah Darul Aman (KDA), PDRM dan Kelantan United yang mana jumlah bolos itu dijangka terus meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan TRW akan cuba melakukan sesuatu dalam baki perlawanan itu bagi mengelak pasukan terus dibolosi dengan jaringan besar.

“Pertama saya minta maaf atas kekalahan demi kekalahan sehingga dibelasah teruk. Saya faham semuanya termasuk soal maruah.”Saya sudah nyatakan dari awal apabila kita tidak dapat mendaftar pemain (baharu), kita akan menerima nasib demikian apabila kita angkat pemain muda bermain. Pemain muda kita sudah melakukan yang terbaik, namun mereka hanya kekurangan pengalaman.

“Soal gaji tertunggak, …saya jumpa sebahagian pemain semalam dan terangkan, malah mereka menerima penerangan. Tiada syarikat atau pemilik nak melewatkan gaji jika tidak mengalami masalah kerugian,” katanya.

Kelantan mengalami kekalahan besar terutama dalam lima perlawanan terakhir mereka bermula dengan dibelasah Terengganu 8-0, JDT 10-0 (dalam Piala Malaysia), Selangor 11-2, Perak 8-0 dan Sabah 7-0.

Secara keseluruhannya, Kelantan sudah bolos 132 gol dalam semua pertandingan musim ini termasuk empat di Piala FA, 15 dalam Piala Malaysia dan 11 dalam Piala Cabaran.

Selain itu, Ahmad Muzakkir menjelaskan Kelantan FC akan berusaha untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi pasukan itu.

“Terima kasih kepada yang hadir stadium semalam, rata-rata sudah tahu kita akan dibelasah namum mereka hadir sebagai sokongan. Terima kasih juga kepada pemain, barisan pengurusan dan jurulatih, mereka memberi komitmen dan fokus 100 peratus atas kerja mereka.

sumber:- BH

“Semestinya pemilik 100 peratus berusaha untuk selesaikan masalah ini, dan saya sebagai CEO 100 peratus berusaha ke arah membawa balik penaja,” katanya.