sukan

FAM hukum JDT dan Selangor

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman terhadap Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.

Jawatankuasa berkenaan menerusi mesyuarat kali ke-14 mengenakan hukuman terhadap dua kesalahan yang dilakukan penyokong JDT dengan membabitkan denda keseluruhan berjumlah RM30,000.

Kelab itu didapati melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM akibat daripada kegagalan mematuhi obligasi penganjuran hingga membolehkan penyokong JDT mengejek, melakukan provokasi dan kemudian mengerumuni, mengejar serta menyerang penyokong lawan sebelum sempat mereka menaiki bas.

Kesalahan itu dilakukan semasa perlawanan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2023 antara JDT dan Selangor MAC di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, 27 Mei lalu.

Kesalahan itu menyaksikan JDT didenda RM15,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

Bagi kesalahan kedua, JDT turut didapati melanggar artikel sama hingga menyebabkan seorang penyokong Kuala Lumpur (KL) City dipukul oleh individu yang tidak dikenal pasti hingga menyebabkan kecederaan serius semasa final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai lalu.

Kesalahan itu menyaksikan JDT turut didenda RM15,000 dengan kelab berkenaan boleh mengemukakan rayuan terhadap kedua-dua hukuman itu.

Sementara itu, Selangor FC pula didenda RM23,000 oleh FAM membabitkan tiga pertuduhan yang dikenakan ke atas kelab terbabit selepas didapati melanggar Artikel 53, Artikel 70, perenggan 1 dan Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM.

Pertuduhan pertama membabitkan insiden cermin belakang kereta pegawai perlawanan pecah kerana dilontar dengan sebiji batu semasa diletakkan di kawasan parkir berhadapan pentas utama stadium.

Pertuduhan kedua membabitkan insiden baling botol air yang datang dari kawasan tempat duduk penonton ke arah pegawai pertandingan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, insiden baling botol oleh pegawai Selangor FC ke arah kumpulan pengadil di dalam terowong semasa bergerak ke bilik persalinan dan gagal memastikan keselamatan kumpulan pengadil selepas perlawanan.

Ketiga-tiga pertuduhan itu berlaku ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Selangor dan Terengganu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 24 September lalu.

sumber:- BH

Selangor FC didenda RM10,000 bagi pertuduhan pertama, RM3,000 bagi pertuduhan kedua dan RM10,000 bagi pertuduhan ketiga selain diberi amaran keras dengan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama dan keputusan itu juga tidak boleh dirayu.