Susulan aksi membanggakan ketika membantu pasukannya, Terengganu FC II (TFC II) muncul juara Piala MFL baru-baru ini, penyerang sensasi skuad itu, Muhammad Isa Raman kini sudah diintai beberapa pasukan Liga Super.
Bagaimanapun jelas pemain berusia 23 tahun kelahiran Kuala Nerus itu, dia masih belum membuat keputusan muktamad mengenai destinasinya pada musim depan biarpun sudah dirisik.
Ini kerana dia yang pernah beraksi bersama skuad remaja kebangsaan bawah kendalian Bojan Hodak pada 2017 hingga 2019 itu mahu menunggu panggilan daripada pasukan Liga Super negeri kelahirannya itu terlebih dahulu.
Pada aksi final Piala MFL menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Sabtu lalu, jaringan tunggal Muhammad Isa memastikan skuadnya menjuarai piala yang kali pertama diperkenalkan itu hasil kemenangan 1-0.
“Saya sudah dirisik oleh beberapa pasukan Liga Super yang mahukan khidmat saya beraksi bersama pasukan mereka pada musim depan, tapi setakat ini saya belum membuat keputusan muktamad lagi.
“Ini kerana besar harapan saya mahu beraksi bersama pasukan negeri kelahiran, namun setakat ini belum ada jawapan lagi daripada skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu sama ada berminat atau sebaliknya.
“Bagaimanapun jika tiada tawaran daripada pasukan TFC, saya bakal memilih pasukan lain pada musim depan bagi meneruskan karier kerana impian saya mahu melangkah lebih jauh lagi sehingga ke pentas Asia,” kata pemain yang pernah beraksi bersama kelab Liga M3, ATM secara pinjaman pada musim lalu.
sumber: – HM
Sepanjang musim ini, pemain yang menyertai program realiti Mencari Ramli pada 2016 pernah diserap dalam pasukan utama TFC pada 2021 ketika bawah kendalian Nafuzi Zain.