Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengingatkan pemain bola sepak di negara ini supaya tidak menjadikan media sosial sebagai tempat mendedahkan isu tunggakan gaji yang dialami mereka.
Ia kerana menurut kontrak, pemain berkenaan boleh dikenakan tindakan tegas oleh pasukan masing-masing jika mendedahkan masalah tunggakan gaji kepada umum atau media.
Presiden PFAM, Safee Sali menjelaskan pemain boleh menggunakan saluran yang betul termasuk dengan membuat aduan kepada pihaknya bagi membantu menyelesaikan isu terbabit.
“Pemain sekarang kena faham dan ia pembelajaran kepada pemain juga. Menurut kontrak pun ada menyatakan pemain tidak boleh menyatakan kepada media.
“Masalah apa pun kena guna cara baik dan saluran betul, datang kepada PFAM. Pemain harus tahu apa isi dalam kontrak, jadi datanglah kepada kami (PFAM) untuk selesaikan cara baik.
“Bagi saya mereka yang ke media sosial secara sendiri, mereka tidak faham kontrak. Kena faham dan teliti dengan betul. Saya tak salahkan pemain, jadi lepas ini datang kepada kami,” katanya.
sumber:- BH
Sebelum ini, beberapa pemain dilihat menggunakan platform media sosial sebagai tempat untuk mereka meluahkan isu tunggakan gaji dengan pasukan.