sukan

Berita baik untuk Skuad Pan Gon

Kekurangan idea di bahagian tengah skuad Harimau Malaya ketika saingan Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu dijangka berakhir apabila Paulo Josue kembali memperkuatkan pasukan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan selepas ini.

Keyakinan itu diluahkan jurulatih berpengalaman negara, Azraai Khor Abdullah yang mengakui kehadiran Josue bakal membawa impak lebih positif kepada skuad kendalian Kim Pan-gon dalam menggerakkan serangan.

Katanya, biarpun posisi tonggak naturalisasi negara itu sering diletakkan sebagai penyerang kedua di belakang Darren Lok, Josue turut mampu mencipta gerakan kreatif bagi membuka ruang buat penyerang lain serta pemain sayap untuk meledak gol.

“Saya lihat kehadiran semula Josue akan menghidupkan kembali jentera tengah pasukan apabila bermain di pusingan kelayakan nanti.

“Kita dapat lihat ketika Pestabola Merdeka tempoh hari, ketiadaan Josue membuatkan kita terlalu bergantung harap kepada serangan dari bahagian sayap semata-mata.

“Josue seorang pemain ‘mobile’ yang boleh bermain sebagai penyerang dan mencipta gerakan untuk penyerang. Jadi saya yakin pasukan kita akan bertambah baik dan lebih kreatif apabila mengharungi kelayakan itu nanti,” katanya.

Pada kempen Pestabola Merdeka lalu, Josue terpaksa digugurkan saat akhir oleh Pan-gon kerana ketua pasukan Kuala Lumpur City FC itu mengalami demam denggi.

Ekoran ketiadaan Josue, hasrat skuad Harimau Malaya untuk menjuarai Pestabola Merdeka tidak kesampaian apabila tumbang 0-2 kepada Tajikistan di final dan kekurangan ilham di bahagian tengah menyaksikan pasukan negara sukar merobek benteng lawan.

Malah pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri mengakui pasukan kebangsaan dilihat agak ‘canggung’ tanpa sentuhan arkitek sebenar dalam mencipta gerakan.

Pasukan negara bakal memulakan latihan pusat esok sebagai persediaan menghadapi aksi pertama kelayakan Kumpulan D menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 November ini.

sumber:- HM

Selepas itu, anak buah Pan-gon akan terbang ke Taiwan untuk aksi kedua berdepan tuan rumah lima hari kemudian, dengan baki perlawanan disambung pada Mac depan bertemu Oman.