sukan

Safee Sali tidak beri muka lagi

Pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji tidak lagi boleh diberi muka hingga menyebabkan isu berkenaan terus menjadi barah dalam kancah Liga Malaysia (Liga).

Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali menegaskan bahawa langkah lebih tegas harus dilakukan bagi mengelak penyakit sama menjadi lebih kronik.

Bekas penyerang kebangsaan itu menjelaskan, antara langkah yang mungkin boleh diambil adalah memastikan tunggakan yang dihadapi pemain tidak berlanjutan hingga dua atau tiga bulan.

Ia bermakna pemain sudah boleh membuat laporan kepada PFAM sekiranya gaji mereka tertunggak sebulan berbanding tempoh dua atau tiga bulan yang diberikan kepada pasukan ketika ini.

“Sebelum ini ada pasukan diberikan tempoh dua atau tiga bulan (tunggakan gaji sebelum pemain boleh buat laporan), saya faham pemain pun masih tunggu pengurusan lunaskan gaji itu.

“Kalau tahun ini dua bulan atau tiga bulan, mungkin selepas ini jika gaji lewat sebulan pun boleh buat laporan. Kami akan cuba berunding dengan pihak badan induk liga.

“Ada pengurusan pandai yang mana tunggakan nak masuk dua bulan mereka bayar gaji sebulan, itu menjejaskan kelancaran liga kita.

“Jangan tunggu sampai dua bulan atau tiga bulan baru nak buat laporan kepada kami, ia sudah lambat, datang sebelum masalah jadi lebih teruk,” katanya selepas kejohanan boling anjuran PFAM dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), hari ini.

Legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail dalam laporan BH Sukan sebelum ini menyifatkan pengurusan kelab yang masih bersikap amatur menjadi antara punca masalah tunggakan gaji pemain masih berlaku dalam Liga M.

Selain itu, Safee turut meminta mana-mana pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji supaya tidak takut untuk membuat laporan kepada PFAM.

“PFAM tidak boleh bergerak kalau tiada laporan. Pemain kena tahu kami di sini untuk selesaikan masalah dalam industri bola dari segi isu gaji.

sumber:- BH

“Kalau ada laporan yang kukuh dan rasmi, kita boleh selesaikan masalah. Kita bukan mahu keruhkan keadaan, tetapi nak selesaikan,” katanya.