sukan

JDT tumbangkan Raja Korea Selatan di ACL

Johor Darul Ta’zim (JDT) menghidupkan peluang untuk ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila menumbangkan juara Liga Korea Selatan (K-League), Ulsan Hyundai, 2-1 dalam perlawanan Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Selepas tewas 1-3 di tempat lawan dalam aksi ketiga hujung bulan lalu, Harimau Selatan melunaskan misi balas dendam ke atas Ulsan dengan pemain gantian, Akhyar Rashid, membawa watak wira menjaringkan gol kemenangan menuju ke wisel penamat.

Heberty Fernandes memberikan petunjuk bahawa JDT akan mengungguli aksi kali ini apabila meletakkan tuan rumah di depan pada penghujung babak pertama, di mana dia memanfaatkan hantaran lambung Afiq Fazail sebelum melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti ke arah tiang kanan gawang lawan dan menerjah ke jaring Ulsan.

Ketika JDT terus mempamerkan dominasi dalam babak kedua, mereka dikejutkan dengan jaringan Ataru Esaka pada minit ke-69, sekali gus memberikan tekanan kepada juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu untuk kembali berada di depan.

Di sebalik tekanan itu, kemasukan Akhyar pada minit ke-85 jelas memberikan dimensi berbeza buat tuan rumah, di mana dia hanya memerlukan dua minit sebaik dimasukkan untuk mencetuskan impak segera.

Susulan satu gerakan serangan balas pantas yang dimulakan dari sebelah kanan, Arif Aiman Hanapi bertindak bijak melorongkan bola ke arah Akhyar sebelum penyerang itu mempamerkan aksi licik melepasi perangkap ofsaid dan melepaskan penyudah kaki kanan yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.

Ulsan melancarkan serangan bertali arus ke gawang lawan tetapi ketangkasan Syihan Hazmi Mohamed selaku benteng terakhir memastikan tiga mata milik Harimau Selatan menuju ke wisel penamat.

sumber:- SA

Dengan kemenangan itu JDT kini mengumpulkan enam mata daripada empat perlawanan dan hanya dibezakan jumlah jaringan dengan Ulsan di tempat kedua — tiga mata dibezakan dengan pendahulu, Kawasaki Frontale.