sukan

JDT sekali lagi mendominasi senarai pemain

SKUAD Harimau Malaya menerima tonik terbaik apabila menerima wakil 11 pemain kelab juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang kelayakan Kumpulan D saingan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula minggu depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, ketua jurulatih telah mengekalkan 20 pemain daripada skuad kebangsaan ketika muncul naib juara Pestabola Merdeka bulan lepas.

“Lima pemain baharu yang kembali tersenarai kali ini ialah penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman daripada kelab Negeri Sembilan FC.

“Selain empat pemain JDT, Shahrul Saad, Syahmi Safari, Afiq Fazail serta pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

“Sementara itu, 26 pemain diletakkan dalam senarai bersedia jika terdapat perubahan dalam panggilan asal,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, tujuh lagi pemain JDT yang dipanggil kali ini seperti La’vere Corbin-ong, Matthew Davies, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Endrick Dos Santos dan Ahmad Syihan Hazmi.

Kehadiran pemain-pemain ini dilihat menguatkan lagi skuad kebangsaaan dalam usaha bangkit semula di landasan kemenangan pada perlawanan bertemu Republik Kyrgyzstan pada 16 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas itu, pasukan kebangsaan yang kini menduduki ranking ke-137 dunia akan terbang ke Taipei untuk aksi kedua peringkat kumpulan menentang Taiwan pada 21 November.

Dua perlawanan antarabangsa itu boleh dianggap persiapan terakhir skuad Harimau Malaya sebelum mengharungi saingan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari nanti.