Kontrak pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon masih menjadi tanda tanya apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan sehingga kini tiada sebarang keputusan mengenai masa depan jurulatih dari Korea Selatan bersama pasukan kebangsaan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, status kontrak Pan-gon akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan sebelum diumumkan kelak.
Beliau berkata, Pan-gon sudah melakukan perancangan terperinci berkaitan skuad Harimau Malaya sehingga pertengahan tahun depan, sekali gus memberi bayangan jurulatih berusia 54 tahun akan kekal memimpin skuad Harimau Malaya.
“Kita akan huraikan kemudian mengenai perkara itu (kontrak Pan-gon). Kita dalam Jawatankuasa Pengurusan Pasukan yang dipengerusi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin akan bincangkan perkara itu.
“Bukan tidak tandatangan. Sudah ada perbincangan, cuma beri masa kita selesaikan aksi kelayakan dahulu kerana Pan-gon sudah rangka program sehingga tahun depan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kesembilan Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2021-2025 di Wisma FAM, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pan-gon mengikat kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan setahun lagi dan kontraknya dijangka berakhir pada Februari atau Mac tahun depan.
Namun dengan segala usaha dan pencapaian dibawa Pan-gon, sudah tiba masanya FAM melanjutkan lagi tempoh berkenaan dengan cuba meletakkan sasaran baharu bersaing merebut slot ke Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS) nanti.
Malah, lapan slot yang diberikan kepada benua Asia itu harus diambil kesempatan bagi menetapkan hala tuju baharu yang secara tidak langsung bakal mengubah dimensi, budaya dan mentaliti dalam ekosistem bola sepak di Malaysia untuk menghala ke Piala Dunia.
sumber:- HM
Harimau Malaya akan memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) diikuti aksi dengan Taiwan di tempat lawan pada 21 November.