sukan

Kim Pan Gon umum kejutan

Perancang tengah, Mohd Afiq Fazail dan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh muncul antara 25 pemain yang dipanggil oleh jurulatih Kim Pan Gon bagi menyertai latihan pusat skuad kebangsaan bermula Jumaat ini.

Latihan pusat berkenaan bagi menghadapi perlawanan Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan ini.

Tindakan Pan Gon menyenaraikan Afiq dilihat menceriakan sesetengah pihak yang sebelum ini menganggap tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu wajar menyarung jersi Harimau Malaya susulan prestasinya bersama Harimau Selatan.

Bagaimanapun, panggilan buat Sumareh mungkin mencetuskan sedikit persoalan dalam kalangan peminat tempatan kerana dia sudah lama tidak beraksi bersama Harimau Malaya selain kurang mendapat peluang bermain di JDT.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, Pan Gon mengekalkan seramai 20 daripada 25 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat ketika Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu.

Perkembangan itu menyaksikan Afiq dan Sumareh termasuk dalam lima pemain baharu yang kembali tersenarai kali ini bersama Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Shahrul Saad dan Syahmi Safari.

Afiq, Sumareh dan Syahmi sebelum ini berada dalam senarai bersedia ketika Pestabola Merdeka 2023 manakala Shahrul tidak tersenarai selepas dikatakan mengalami kecederaan.

Namun, tiga lagi pemain JDT yang sebelum ini dicanang layak untuk berada dalam skuad Harimau Malaya iaitu Syafiq Ahmad, Nathaniel Hong Wan dan Muhamad Feroz Baharudin sekali lagi diletakkan dalam senarai bersedia.

Menurut kenyataan FAM, dua pemain iaitu Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Abdul Azih pula tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan.

sumber:- BH

Harimau Malaya akan berdepan Kyrgyzstan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November ini sebelum terbang ke Taipei bagi perlawanan kedua bertemu Taiwan (21 November).