sukan

Keputusan bukan nak perlekeh JDT

Pengendali Ulsan Hyundai, Hong Myung Bo enggan terlalu yakin, sebaliknya mahu bersikap berhati-hati apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam esok.

Jelasnya, walaupun meraih kemenangan 3-1 ke atas JDT pada pertembungan 24 Oktober lalu, ia bukanlah jaminan untuk mengekalkan momentum itu, sebaliknya tetap berwaspada dengan kebangkitan skuad kendalian Esteban Solari.

Malah beliau menepis tanggapan tindakan merehatkan tiga bintang utama, kapten Jung Seung Hyun, Darijan Bojanic dan Gustav Ludwigson ketika aksi menentang Daegu 29 Oktober lalu kerana mahu memberi rehat kepada ketiga-tiga pemain itu untuk aksi menentang JDT.

“Tidak betul, saya merehatkan ketiga-tiga pemain itu berdasarkan prestasi ketika latihan untuk persiapan menentang Daegu dan tidak ada kena mengena untuk menentang JDT malah saya sudah merangka perancangan bagi aksi ACL.

“Namun, kita telah melakukan persiapan yang baik untuk pertarungan malam esok dan semua pemain akan memberi sepenuh tumpuan bagi memastikan tiga mata tidak terlepas.

“Kita juga sedar JDT mempunyai kemudahan stadium yang baik serta penyokong yang fanatik dan ia tidak akan memberi kesan kepada pasukan untuk memenangi pertarungan esok,” ujarnya dalam sesi sidang media.

Jurulatih berusia 54 tahun itu turut menambah bahawa keadaan cuaca di Malaysia yang tidak sama seperti di Korea juga bukan satu alasan untuk mereka beraksi dengan penuh berkeyakinan.

“Kita tidak boleh mengawal keadaan cuaca dan itu tidak menjadi satu isu mahupun tekanan buat pasukan kami,” jelasnya.

Sementara itu, penyerang Ulsan Hyundai, Kim Ji-hyun menganggap pertembungan menentang JDT tidak akan memberi tekanan buat dirinya dan rakan sepasukan, sebaliknya akan beraksi mengikut perancangan taktikal yang dibentuk ketua jurulatih.

sumber:- BH

“Mungkin ada yang kata akan akan beraksi dalam tekanan, tapi bagi saya semua pemain sudah biasa untuk berdepan tekanan dan kami tetap hormati JDT namun dalam pada masa yang sama kami mahukan kemenangan, ” kata Ji-hyun.