Pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak mempunyai pilihan selain kembali ke tanah air jika mahu memastikan kariernya tidak berkubur pada masa akan datang.
Itu saranan jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah yang melihat pemain berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu ketika ini seolah-olah hilang arah apabila berkelana di bumi Eropah.
Beliau berkata, Luqman boleh mencuba nasib dengan beraksi di Liga Thailand atau Indonesia untuk mendapatkan minit permainan dalam usaha memastikan prestasinya berada di tahap optimum untuk mewakili negara kelak.
“Apa yang boleh saya katakan, sayang bakat dan kemampuan Luqman tidak menunjukkan peningkatan walaupun sudah beberapa tahun berkelana di bumi Eropah.
“Pemain muda itu perlu pulang ke tanah air dengan mewakili kelab Liga Super kerana sekurang-kurangnya mungkin dia kerap diberikan peluang beraksi bersama pasukan utama.
“Jika dia beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pun bagus kerana walaupun mungkin akan memanaskan bangku simpanan, namun tidak menjejaskan prestasinya seperti Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid,” katanya.
Sebelum itu, Arena Metro melaporkan tanda harga penyerang muda negara itu ketika ini jatuh merudum berbanding sebelum ini.
Berdasarkan nilai terkini yang dibuat laman antarabangsa, transfermarkt.com pada 20 Oktober lalu, ‘tanda harga’ Luqman kini hanya €50,000 (RM254,000).
Angka itu menyaksikan nilai pemain berusia 21 tahun yang beraksi bersama kelab Iceland, Njardvik FC menyusut separuh berbanding RM507,000 ketika kemas kini pada November tahun lalu.
Luqman sebelum ini pernah menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan ketika bersama skuad Bawah 16 tahun dalam Kejuaraan AFC B-16 2018 apabila dia muncul penjaring terbanyak kejohanan itu.
Bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu kemudian menyertai pasukan Selangor sebelum berhijrah ke Eropah bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.
sumber:- HM
Bagaimanapun nama Luqman dilihat semakin tenggelam kerana kurang mendapat peluang beraksi sebelum dia seterusnya menyertai Njardvik secara pinjaman.