sukan

“Ia keputusan jurulatih” — Forestieri

Penyerang Johor Darul Ta’zim FC, Fernando Forestieri, menyerahkan kepada jurulatihnya, Esteban Solari, untuk menentukan kesebelasan terbaik menjelang aksi keempat Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok.

Forestieri diletakkan di bangku pemain simpanan ketika JDT tewas 1-3 kepada Ulsan di gelanggang lawan hujung minggu lalu tetapi kemasukkannya pada awal separuh masa kedua ketika JDT ketinggalan 0-3 meningkatkan keamatan permainan Harimau Selatan sebelum Bergson da Silva merapatkan jurang pada minit ke-53.

Ramai berpandangan Forestieri sepatutnya diletakkan sebagai barisan pemula pasukan selatan tanah air itu menjelang pertemuan kedua malam esok tetapi pemain berusia 33 tahun itu meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada rencana taktikal jurulatihnya, Solari.

“Ia keputusan jurulatih,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Astro Arena.”Sebelum ini saya diletakkan di bangku pemain simpanan dan saya kemudian dimasukkan untuk membantu pasukan.

“Tidak kira sama ada esok saya akan bermula sebagai kesebelasan utama atau diletakkan sebagai pemain gantian, apa yang penting adalah kami membantu sesama sendiri dan saya perlu membantu rakan sepasukan saya, itu perkara terpenting untuk diri saya.
“Ayuh lihat apa yang akan berlaku esok kerana saya bukan jurulatih,” katanya.

sumber:- SA

JDT kini menduduki tangga ketiga kumpulan I dengan tiga mata selepas tiga perlawanan, tiga mata di belakang pasukan di tangga kedua, Ulsan, dan enam mata di belakang pendahulu, Kawasaki Fontale.