sukan

Tidak belajar daripada sejarah

Isu tunggakan gaji yang membelenggu beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) musim ini memberi gambaran bahawa pengurusan kelab berkenaan masih tidak belajar daripada sejarah lalu.

Apa tidaknya, isu berkenaan boleh dikatakan setiap tahun terjadi dan masalah sama tetap berulang meskipun saingan Liga M sudah lama memasuki era profesional.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan isu tunggakan gaji yang terus berulang itu menunjukkan pemikiran pengurusan kelab bola sepak di negara ini masih lagi amatur.

Beliau berkata, jika pengurusan kelab benar-benar memahami sikap profesional, masalah tunggakan gaji mungkin tidak berlaku, sebaliknya ketika ini perkara berkenaan dilihat semakin serius.

“Sesetengah pengurusan pasukan masih lagi berpemikiran amatur, itu yang jadi masalah. Jika profesional, anda kena buat semuanya dengan profesional yang mana dana kena sediakan awal sebelum musim bermula.

“Berapa banyak dana ada, berapa banyak kena berlanja dan itu kena merangkumi sekurang-kurangnya bajet untuk setahun. Anda tak boleh kata nak buat bajet tiga bulan dulu selepas tunggu masuk duit dari penaja baru buat, itu tak boleh.

“Pengurusan juga ghairah, sudah tahu tak ada kemampuan tetapi tetap juga cari sembilan import. Sepatutnya belanja ikut kemampuan dan ukur baju di badan sendiri. Kalau mampu setakat tiga import, maka ambil tiga sahaja pemain import.

“Namun, jika kita cakap begitu, mereka bagi alasan sebab nak bersaing dengan pasukan lain. Jangan ikut orang kalau kita tak mampu, macam JDT tak apalah memang mereka ada dana,” katanya kepada BH sukan.

Pemerhati bola sepak tempatan Mohd Sadek Mustafa dalam laporan BH Sukan, semalam menyifatkan industri bola sepak negara berada tahap menggerunkan dengan kegagalan pasukan menjana pendapatan menyebabkan berlakunya isu tunggakan gaji.

Selain itu, Jamal menegaskan bahawa pengurusan kelab harus lebih bijak dalam merancang kewangan jika tidak mahu saingan Liga M terus dicemari dengan isu tunggakan gaji.

Beliau berkata, pasukan PDRM boleh dijadikan contoh kerana walaupun mengeluarkan bajet yang tidak terlalu tinggi tetapi skuad itu mampu memberi saingan berbanding pasukan lain yang berbelanja lebih besar musim ini.

“Masalah tunggakan gaji ini memberi banyak implikasi yang buruk terutama kepada pemain yang mana mereka juga ada komitmen yang perlu dijelaskan setiap bulan.

sumber:- BH

“Jadi apabila masalah itu berlaku, ia mengganggu mental mereka dan sebab itulah terjadinya pasukan yang kena belasah dengan jaringan yang besar,” katanya.