sukan

Pengendali Kelantan United tidak dapat sembunyikan kesedihan

Pengendali Kelantan United Football Club (KUFC), Ailton Silva tidak dapat menyembunyikan perasan sedih apabila hasrat pasukan untuk melangkah ke final Piala Cabaran digagalkan Kuching City FC di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, semalam.

Ailton berkata, beliau kecewa kerana anak buahnya tidak mempamerkan persembahan cemerlang sebagaimana dua perlawanan sebelum ini menentang pasukan sama dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Katanya, pelawat menunjukkan aksi lebih baik dan layak untuk ke peringkat akhir saingan.

“Perlawanan demi perlawanan, pasukan mencuba tetapi permainan tidak berjalan dengan baik hari ini (semalam),” katanya.Beliau berkata, pasukan kini perlu memberi tumpuan kepada baki tiga lagi perlawanan di Liga Super.

Katanya, Kijang Hijau turut ketiadaan beberapa tonggak utama seperti Morgaro Gomis yang cedera.

“Saya perlu sedar apa kelemahan yang kita ada dan meneruskan saingan musim ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak memuji kerja keras anak buahnya menewaskan tuan rumah dengan 2-0 dan keputusan agregat 3-1.

Katanya, The Cats perlu meneruskan kejayaan ini untuk mendapat kedudukan lebih baik terutamanya dalam Liga Super musim ini.

“Saya dapat lihat kita bermain dengan baik, pemain ikut perancangan permainan, kita berpeluang dapat lebih gol tapi apapun keseluruhan saya gembira dengan persembahan mereka (pemain),” katanya.

Ketua Jurulatih dari Singapura itu turut memuji importnya, Abu Kamara yang dilihat beraksi semakin baik.

Katanya, sebelum ini Kamara lebih bermain secara individu dan kini mula memahami gerak berpasukan, namun katanya masih banyak yang perlu dipelajari pemain muda itu terutamanya memahami posisi dan sentuhan pertama perlawanan.

“Saya gembira dia (Kamara) berjaya menjaringkan gol hari ini (semalam), namun saya tidak mahu terlalu memberi tekanan kepadanya, dia masih muda dan masih banyak perkara perlu diperbaiki,” katanya.

sumber:- HM

Semalam, hasrat Kijang Hijau untuk ke peringkat akhir saingan Piala Cabaran kecundang apabila tewas 0-2 hasil jaringan Kamara minit ke-39 dan gol Bruno Dybal yang menyempurnakan sepakan percuma pelawat minit ke-63.