sukan

Jun Hao cipta sensasi muncul Juara

Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao membaling raketnya sejurus mengesahkan kejuaraan Masters KL, hari ini menandakan beban yang ditanggungya sudah berakhir.

Jun Hao mempamerkan watak ‘sang penjuang’ apabila dia menumbangkan pilihan pertama kejohanan dari Taiwan, Lee Chia Hao pada aksi final yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Pada aksi itu, Jun Hao diberi tentangan sengit di set pertama sebelum menang 22-20 manakala aksi set kedua menyaksikan pemain itu mendominasi permainan untuk menoktahkan kemenangan 21-13.

Ini adalah gelaran kedua Jun Hao dalam saingan Jelajah Dunia BWF selepas muncul juara di Masters Indonesia tahun lalu.Berkongsi mengenai reaksinya yang membaling raket selepas tamat aksi final itu, Jun Hao yang dikenali sebagai pemain yang sukar untuk menunjukkan sebarang reaksi, berkata: “Saya hadir di kejohanan ini dengan sasaran untuk muncul juara.

“Selain itu, ramai yang mengharapkan saya untuk menjadi juara di sini dan sudah tentu ia menghadirkan tekanan kepada diri saya.

“Setiap apa yang saya lakukan dan setiap perlawanan saya bermain, saya berasa ada tekanan itu. Cuma, saya terus kekal fokus sehinggalah mata yang terakhir.

“Akhirnya, saya menang dan berasa semua beban itu sudah berakhir,” kata Jun Hao yang akan berlepas Korea Selatan, malam ini bagi menyertai saingan Masters Korea yang bermula Selasa.

Pemain ranking ke-43 dunia itu menyifatkan kejayaan kali ini sangat bermakna buat dirinya kerana dapat melakukannya di laman sendiri.

“Saya dedikasikan kejayaan ini kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) yang sentiasa percaya kepada saya biarpun saya tidak bermain dengan baik. Selain itu, ini juga adalah untuk keluarga saya dan semua kakitangan sokongan.

sumber:- BH

“Tidak lupa juga kepada KLBA (Persatuan Badminton Kuala Lumpur) kerana kerjaya saya bermula di sini,” katanya.