sukan

Chan Peng Soon umum kejutan selepas muncul Juara

Pemain beregu campuran profesional berpengalaman negara, Chan Peng Soon mengumumkan dia akan ‘menggantung raket’ pada April atau Mei tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Peng Soon, 35, selepas dia dan pasangannya Cheah Yee See berjaya merangkul kejuaraan pertama mereka musim ini dengan menjuarai saingan badminton Masters KL, hari ini.

Pilihan pertama kejohanan itu dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong 21-9, 17-21, 21-10 dalam tempoh 62 minit pada aksi di Stadium Titiwangsa.

Peng Soon, berkata meskipun ia hanyalah kejohanan bertaraf Super 100, namun kejuaraan itu tetap istimewa buat mereka apatah lagi menjuarainya di laman sendiri.

“Sudah tentu saya sangat gembira dan bangga. Biarpun hanya kejohanan Super 100 tetapi kami memenanginya di laman sendiri,” katanya ketika ditemui selepas aksi final.

Selaku juara, Peng Soon-Yee See membawa pulang hadiah wang tunai AS$7,900 (RM37,363) manakala Pakkapon-Phataimas meraih AS$3,800 (RM17,972).

Ditanya mengenai perancangan dan sasaran mereka selepas ini terutama selepas peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sangat tipis, Peng Soon, berkata: “Saya dan Yee See tidak fikir terlalu jauh.

“Memang peluang ke Olimpik sangat sukar tetapi kami ada ubah pemikiran kerana tetap perlu bergerak ke hadapan. Kami fokus satu demi satu kejohanan, menikmatinya dan cuba buat yang terbaik…menang atau kalah itu sudah lain cerita.

“Kalau tengok keadaan tubuh badan, saya bukan lagi muda. Memang perancangan adalah untuk saya bersara pada tahun depan.

“Saya mungkin akan beraksi dalam kejohanan sehingga April atau Mei iaitu sehingga tamat pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik,” kata Peng Soon.

Peng Soon mula menempa nama dalam acara beregu campuran bersama pasangannya sebelum ini Goh Liu Ying yang menyaksikan mereka meraih pelbagai kejuaraan termasuklah memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki profesional negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

sumber:- BH

Hang Yee-Eng Cheong terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan Taiwan, Chen Cheng Kuan-Chen Sheng Fa 21-23, 17-21.