sukan

Beregu campuran Negara mara ke Final

Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See enggan melepaskan peluang keemasan bagi merangkul gelaran pertama mereka tahun ini selepas berjaya mengesahkan kemaraan ke final badminton Masters KL, hari ini.

Pilihan pertama kejohanan itu menepati ramalan apabila menundukkan gandingan Taiwan, Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun 21-10, 22-20 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Peng Soon mengakui gembira apabila berjaya melangkah ke final buat kali pertama selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu tahun ini meskipun ia hanyalah kejohanan bertaraf Super 100.

“Memang saya sangat gembira bila dapat layak ke final. Masa di set kedua memang ada dapat rasa peluang boleh masuk ke final jadi kami agak gopoh sikit.

“Bagi saya kejohanan ini tetap penting untuk saya dan Yee See kerana sebelum beraksi di sini, kami tak ada keputusan yang bagus jadi kami tidak mahu fikir terlalu banyak.

“Tetapi kini peluang sudah ada, kami akan cuba berhabisan-habisan.

“Rehat satu hari memang bagus, untuk saya, membuatkan saya lebih segar untuk perlawanan hari ini. Tetapi tempo permainan saya terganggu sedikit sebab cuti sehari membuat saya rasa tidak selesa,” kata Peng Soon.

Sebagai rekod, kali terakhir Peng Soon-Yee See merangkul gelaran juara adalah pada 2017 di Terbuka Russia yang mana ketika itu mereka masih berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Peng Soon-Yee See akan bertemu pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong bagi perebutan gelaran juara, esok.

Beregu Thailand itu mara ke final selepas menewaskan satu lagi wakil negara, Ting Shih Wee Owen-Gan Jing Err 21-15, 21-14 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, hasrat pemain perseorangan lelaki negara Aidil Sholeh Ali Sadikin untuk menempah tiket ke final tidak kesampaian selepas tewas di tangan pilihan pertama dari Taiwan, Chia Hao Lee 15-21, 22-24.

sumber:- BH

Nasib sama turut menimpa beregu lelaki profesional negara, Nur Azryn Ayub-Tan Wee Kiong yang terpaksa akur tewas kepada Chen Cheng Kuan-Chen Shen Fa dari Taiwan 21-15, 15-21, 15-21.