Selepas merangkul gelaran pertama dalam saingan Jelajah Dunia BWF, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini mengintai peluang untuk menduduki ranking nombor satu dunia.
Aaron-Wooi Yik yang ketika ini berada di kedudukan kedua mengakui bergelar pasangan nombor satu dunia turut menjadi buruan mereka dengan menyifatkan ia akan menjadi satu lagi pencapaian besar dalam kerjaya mereka.
“Boleh cakap ia sememangya sasaran kami kerana menjadi beregu nombor satu dunia akan menjadi satu lagi pencapaian terbaik dalam kerjaya kami. Jadi, kami harap boleh dapat merealisasikannya.
“Namun, kami tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri dengan terlalu memikirkan mengenainya sebaliknya kami akan cuba untuk berikan yang terbaik dalam setiap kejohanan kami sertai,” kata Aaron ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Aaron-Wooi Yik yang menamatkan penantian bagi merangkul gelaran dalam Jelajah Dunia dengan menjuarai Terbuka Denmark, bulan lalu ketika ini berada di kedudukan kedua dunia dengan 88,164 mata, hanya dipisahkan 1,827 mata di belakang pasangan nombor satu dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Kali terakhir beregu lelaki Malaysia menduduki ranking nombor satu dunia adalah menerusi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada tahun yang sama.
Aaron-Wooi Yik yang juga bekas juara dunia berpeluang untuk memintas kedudukan Wei Keng-Wang Chang sekiranya berjaya menghasilkan keputusan positif di Masters Jepun dari 14 hingga 19 November ini dan Masters China 21 hingga 26 November.
Malah, Aaron sendiri turut berharap dapat merekodkan kejuaraan kedua apabila turun beraksi di Masters Jepun selepas menjuarai Terbuka Denmark.
“Sudah tentu kami juga mahu terus meraih lebih banyak kejuaraan, itu memang sentiasa berada dalam fikiran kami.
“Kalau sudah pernah menang, sudah tentu harap boleh menang lebih banyak lagi dan kalau belum menang pastinya mengharapkan boleh dapat kejuaraan yang pertama.
“Apa pun, kami tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri tetapi itu tidak bermakna kami sudah puas hati dengan apa yang kami capai. Paling penting kami akan terus berikan yang terbaik dan fokus sekarang adalah untuk melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir (di Hangzhou, China dari 13 hingga 17 Disember),” katanya.
sumber:- BH
Di Masters Jepun, Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai saingan pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin manakala di Master China mereka akan bertemu rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin di pusingan pertama.