sukan

TFC terima tamparan hebat menjelang aksi separuh akhir

KETIADAAN perancang utama Nurillo Tukhtasinov menjejaskan sedikit persiapan Terengganu FC (TFC) dalam menghadapi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC (KL City), pada Jumaat.

Ia diakui sendiri ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner yang berkata, pemain kelahiran Uzbekistan itu tidak dapat diturunkan selepas digantung perlawanan gara-gara kutipan kad kuning.

Turut merisaukan pengendali kelahiran Croatia itu ialah masalah kecergasan yang membelenggu tonggak pertahanan tengah, Shahrul Nizam Roshasni dan Saldor Kulmatov.

Justeru, katanya, sandaran kini diletakkan kepada pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Omid Nazari untuk membantu ketua pasukan Habib Haroon di bahagian tengah dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu.

“Kami buat persediaan sebaik mungkin bagi menghadapi perlawanan besar ini. Shahrul Nizam, Kulmatov dan Norhakim (Norhakim Hassan) ada masalah tertentu.

“Bagaimanapun, saya rasa mereka (pasukan TFC) akan bersedia walaupun Nurillo digantung perlawanan. Saya tidak berharap keadaan yang mudah dalam menentang Kuala Lumpur kerana siapa juga yang main sudah pasti akan memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Steinbruckner turut mengingatkan pemain supaya berwaspada dengan kelibat penyerang The City Boys, Paulo Josue dan Romel Morales terutamanya pada situasi bola mati.

Selain itu, katanya, pemain juga perlu bersedia dengan kemungkinan perlawanan diheret ke masa tambahan atau penentuan penalti yang menuntut kekuatan mental mereka.

sumber:- SH

“KL mungkin bersedia dengan beberapa kejutan untuk kami. Jadi, kami perlu bersedia dan fokus sepenuhnya pada perlawanan,” katanya sambil mengharapkan ribuan peminat turun ke SSMZA bagi memberi sokongan kepada TFC pada perlawanan tersebut. – Bernama