sukan

‘Nujum Pak Belalang’ dikaitkan dengan JDT

Berdasarkan keputusan separuh akhir pertama, Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh dianggap sudah sebelah kaki ke final Piala Malaysia memandangkan mereka menang 4-1 pada aksi pertama berdepan Perak FC di Stadium Perak.

Secara matematiknya, peluang belum tertutup buat Perak FC untuk mengintai slot ke final Piala Malaysia di mana mereka perlu menang sekurang-kurangnya 3-0 ke atas JDT sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Namun, peluang itu hanya perbualan di atas kertas semata-mata kerana hakikatnya, ia bukanlah semudah yang disangka apatah lagi untuk membolosi gawang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan hanya sekali tetapi sebanyak tiga kali.

Kali terakhir JDT melepaskan tiga gol dalam kancah bola sepak tempatan adalah ketika terikat 3-3 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Ogos lalu namun JDT tetap mendapat tiga gol pada aksi terbabit.

Jadi kita lihat bilakah kali terakhir JDT tewas dengan tiga jaringan tanpa balas dalam Liga Malaysia (Liga M)? Jawapannya adalah pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2018.

Ketika itu, Pahang menjadi ‘pemangsa’ apabila menundukkan Harimau Selatan 3-0 menerusi hatrik Patrick Cruz di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dan sejak dari tarikh itu, JDT tidak tewas dengan cara sebegitu dalam kancah tempatan.

Mereka hanya tewas dengan jaringan besar di kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) di tangan pasukan terkemuka Asia seperti Ulsan Hyundai baru-baru ini, Urawa Reds Diamonds dan juga Kawasaki Frontale.

Tetapi di Malaysia, tiada lagi pasukan mampu memalukan JDT lagi ditambah dengan rekod sejak Piala Malaysia 2000, pasukan yang tewas sekurang-kurangnya dengan tiga perbezaan jaringan tidak pernah layak ke pusingan seterusnya.

Jadi, izinkan penulis memetik dialog terkenal dari filem seniman agung, Tan Sri P Ramlee yang berjudul ‘Nujum Pak Belalang’ iaitu satu: banyak-banyak, dua: sikit-sikit, tiga: jarang-jarang; empat: kadang-kadang.

Dialog terkenal ini sebenarnya boleh dipraktikkan dalam konteks bola sepak tempatan dengan merujuk kepada JDT.

Satu iaitu banyak-banyak bermakna JDT memang banyak kali menang manakala dua iaitu sikit-sikit pula membawa erti hanya sedikit perlawanan JDT gagal menang iaitu seri.

Tiga iaitu jarang-jarang merujuk kepada jarang-jarang JDT kalah manakala empat pula, kadang-kadang JDT kalah dengan jaringan yang besar.

sumber:- BH