sukan

Manchester United terus jadi mangsa belasahan

Manchester United tewas 3-0 di laman sendiri di tangan Newcastle United pada pusingan keempat Piala Liga Inggeris ketika permulaan buruk mereka musim ini berterusan awal pagi tadi.

Pengurus Manchester United, Erik ten Hag kelihatan merah padam apabila pasukannya diejek ketika keluar padang dan pengendali dari Belanda itu semakin tertekan selepas kecundang 3-0 kepada Manchester City di Old Trafford Ahad lalu.

Dalam perlawanan ulangan final di Wembley tahun ini yang mana Manchester United menang 2-0, Newcastle mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi gol Miguel Almiron dan Lewis Hall sebelum mengukuhkan cengkaman mereka menerusi Joe Willock untuk mara ke suku akhir.

Newcastle mendahului apabila Almiron meledak masuk pada minit ke-28 selepas Tino Livramento memenangi bola dan mengumpan kepada pemain dari Paraguay itu yang berjaya mengatasi penjaga gol Andre Onana.

Hall menggandakan kedudukan lapan minit kemudian, merembat voli ke penjuru gol selepas benteng pertahanan United gagal mengeluarkan bola dengan sempurna dan kekecewaan bertambah buat penyokong tuan rumah apabila Willock menokok gol ketiga selepas sejam.

Manchester United tewas lapan daripada 15 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan – pencapaian terburuk sejak tahun 1972.

West Ham United menyingkirkan Arsenal dengan kemenangan 3-1 menerusi gol Mohammed Kudus dan Jarrod Bowen serta gol sendiri pemain pertahanan Ben White di Stadium London.

Martin Odegaard membalas satu gol pada minit ke-96 tetapi ia sudah terlambat bagi pelawat untuk membuat sebarang kebangkitan.Cody Gakpo dan Darwin Nunez menyumbang gol bagi membantu juara sembilan kali Liverpool menang 2-1 di Bournemouth. Gol Nunez adalah yang ketiga buatnya dalam tiga perlawanan terakhir bersama The Reds.

Chelsea menundukkan Blackburn Rovers 2-0, Everton mengetepikan Burnley 3-0 manakala Fulham menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Ipswich Town 3-1.

Kelab divisyen tiga Port Vale, yang mengalahkan Mansfield Town awal pagi semalam, adalah pasukan dengan ranking paling rendah kekal bersaing.

sumber:- BH

Kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough turut layak ke pusingan lapan terakhir selepas menang 3-2 ke atas Exeter City. – REUTERS