sukan

MFL akhirnya buka mulut status Kelantan musim depan

Kelantan FC yang terperosok di tangga tercorot Liga Super dan pengendali Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris harus boleh tersenyum lebar hari ini.

Ini selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi bayangan tiada pasukan daripada Liga M3 akan ‘naik pangkat’ ke Liga Super musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan ini kerana tiada pasukan dari liga amatur itu yang mengemukakan dokumen seperti diminta MFL sehingga ke tarikh akhir.

“Penyingkiran dan kenaikan adalah berdasarkan kepada lesen Liga Bolasepak Amatur (AFL). Hal ini kerana pasukan AFL perlu menerima lesen sebelum ‘play-off’ atau kenaikan boleh dilakukan.

“Sebelum saya mahu menyingkirkan pasukan perlu tahu ada yang boleh menggantikannya. Perlu mengambil kira kedudukan pasukan AFL boleh menerima lesen dan masuk ke Liga Super.

“Semua pasukan belum menyerahkan dokumen secara keseluruhan. Pasukan perlu mengambil tahu tarikh tutup diberikan MFL. Tarikh tutup sudah lepas dan setakat ini tiada pasukan AFL melengkapi syarat pelesenan,” kata Stuart.

Bayangan MFL itu secara tidak langsung menyaksikan Kelantan jika lulus syarat pelesenan, akan kekal beraksi di Liga Super musim depan.

Mat Zan yang membantu Imigresen FC menjuarai M3 pula tidak perlu mencari pasukan baharu untuk dibimbing.

Ini kerana sebelum ini Mat Zan akur andai tidak lagi berpeluang membimbing pasukan itu kerana beliau tidak mempunyai lesen kejurulatihan Pro-A sekali gus menghalangnya untuk mengendalikan skuad berkenaan jika beraksi dalam Liga Super.

Sementara itu, Stuart mengharapkan 14 pasukan akan terus kekal beraksi pada musim depan namun perubahan jumlah terbabit tetap tertakluk kepada intergriti dan syarat pelesenan kebangsaan.

sumber:- BH

“Integriti dan syarat pelesenan menjadi keutamaan dalam usaha memastikan saingan liga kukuh dan stabil termasuklah jika ada penyingkiran kelak,” katanya.