sukan

Sah akan tambah dua lagi

Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK) 2023 lebih menarik dengan dua kategori tambahan diperkenalkan sekali gus menyaksikan 16 kategori secara keseluruhan dipertandingkan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan mengumumkan dua kategori baharu terbabit adalah Pemain Terbaik MFL dan Penjaring Terbanyak Piala MFL di mana pertandingan Piala MFL julung kali diadakan pada tahun ini membabitkan pasukan bawah 23 tahun.

Selain dua kategori baharu terbabit, 14 kategori lain adalah Anugerah Fair Play, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super dan Penjaring Terbanyak Liga Super, FAN XI, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik dan Gol Terbaik Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Selain itu, kategori bagi setiap posisi turut dipertandingkan membabitkan Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik dan Penyerang Terbaik selain Pemain Import dan Pemain Muda Terbaik.

Tumpuan pasti terarah kepada Pemain Paling Bernilai (MVP) yang ketika ini dipegang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang memenangi gelaran terbabit untuk dua tahun berturut-turut.

Sementara itu, kategori Anugerah Pasukan Terbaik akan diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Teknikal MFL, Anugerah Fair Play akan ditentukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) manakala Fan XI dan Gol Terbaik Liga M 2023 pula menerusi undian penyokong melalui platform SurveyMonkey bermula minggu depan.

Bagi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) pula akan dipilih daripada kalangan pemenang empat kategori iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik dan Penyerang Terbaik oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.

sumber:- BH

Sebagai rekod, seramai 398 daripada 782 pemain disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama kelab masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK23 bagi menyenarai pendekkan 10 pemain terbaik dalam setiap kategori.