sukan

Luahan ‘Man’ hilang ‘air muka’ berhadapan rakan dan saudara mara

Pinjam duit dan jual segala barangan peribadi antara situasi perit yang perlu dihadapi pemain bolasepak ketika ini hingga boleh dikatakan hilang ‘air muka’ apabila berhadapan rakan dan saudara mara.

Hakikat itu terpaksa diterima seorang pemain bola sepak sebuah kelab bertaraf gergasi selepas pasukannya dikatakan mengalami selepas mengalami tunggakan gaji hingga tiga bulan.

Hanya mahu dikenali sebagai Man, pemain berusia 30 tahun itu berkata, kerjaya bola sepak boleh dikatakan indah khabar dari rupa kerana ramai beranggapan bakal memperoleh gaji puluhan ribu namun hakikatnya terpaksa ‘bersilat’ dengan pengurusan untuk menuntut hak itu.

Man yang berasal dari utara tanah air berkata, majikannya masih berhutang tiga bulan gaji dengan jumlah keseluruhan hampir mencecah RM50,000 dengan dijanjikan akan diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

“Antara perkara yang ditakuti pemain adalah pasukan mula berhadapan masalah untuk membayar gaji kerana itu mula menunjukkan akan berlaku tunggakan kelak.

“Pada awalnya lewat bayar gaji sehingga tempoh dua minggu sebelum melarat pula kepada tiga bulan. Mereka akan bayar gaji sebulan dahulu namun bulan berikutnya tidak bayar.

“Saya hutang boleh dikatakan keliling pinggang kerana nak bayar duit sewa rumah, kereta dan perbelanjaan harian sekali gus terpaksa meminjam daripada keluarga serta rakan.

“Namun, setiap kali nak pinjam mereka akan perli atau menyindir saya kerana beranggapan gaji puluh ribu sekali gus sepatutnya hidup mewah,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, seorang lagi pemain Liga Super dikenali sebagai Ashriq memaklumkan bahawa dia agak sukar mempercayai janji manis majikan apabila mahu membayar tunggakan gaji dalam tempoh terdekat.

“Pengurusan pasukan akan bayar gaji apabila nak dekat hari perlawanan tapi hanyalah separuh kerana dibimbangi pemain tidak mahu beraksi atau ‘boikot’ sesi latihan.

“Jika bersuara akan dikenakan tindakan namun berdiam diri pula gaji tidak akan dibayar. Sekarang ini, kami beraksi hanyalah kerana penyokong,” katanya, yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan.

Mengikut rekod, selepas hampir dua musim Liga Malaysia (Liga M) melalui penswastaan, masalah tunggakan gaji belum dapat ‘dicuci’ sepenuhnya apabila beberapa kelab bertaraf gergasi turut mengalami masalah tunggakan pemain mereka.

sumber:- HM

Difahamkan, ketika ini antara pasukan yang dipalit isu gaji adalah membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC, Kelantan FC, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur City (KL City) FC.