sukan

Arif Aiman berpeluang catat hatrik

Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) untuk dua tahun berturut-turut, Arif Aiman Hanapi tampak berpeluang meraih kemenangan hatrik selepas ‘lolos’ dalam dua kategori bagi Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2023.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tercalon dalam kategori Penyerang Terbaik serta Pemain Muda Terbaik dan prestasi semasanya sebagai antara pemain paling menyerlah dalam Liga Malaysia (Liga M) mampu membantu dia menjulang dua anugerah terbabit.

Sebagai rekod, pemain kebangsaan itu turut memenangi kategori Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik ABK tahun lalu.

Bagi kategori Penyerang Terbaik, Arif Aiman yang meledak lapan gol dan mencatat 11 bantuan gol akan bersaing sengit dengan seorang lagi pemain tempatan yang turut menyerlah iaitu pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim yang meledak 11 gol dan melakar tujuh bantuan gol.

Antara calon lain adalah Darren Lok (Sabah FC), Engku Nur Shakir Engku Yacob (Terengganu FC), Gabriel Nistelrooy Tamin (JDTII), Haqimi Azim Rosli (KL City FC), Nabil Ahmad Latpi (PDRM FC), Shahrel Fikri Fauzi (Negeri Sembilan FC), Syahmi Zamri (TFC II) dan Wan Zack Haikal Wan Nor (Perak FC).

Selain itu, persaingan sengit juga dapat disaksikan bagi kategori Pemain Import Terbaik yang majoritinya menampilkan pemain di bahagian serangan serta menjadi nadi pasukan masing-masing.

Tiga pemain import JDT tersenarai termasuklah dua ‘mesin gol’ mereka iaitu Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Jordi Amat selain penjaring terbanyak Liga Super ketika ini, Ayron del Valle (SFC).

Antara pemain import lain yang tercalon termasuklah Abu Kamara (Kuching City FC), Ivan Mamut (TFC), Kpah Sherman (Sri Pahang FC), Luciano Guaycochea (Perak FC) Manuel Ott (Kedah Darul Aman FC) dan Saddil Ramdani (Sabah FC).

Pemenang Anugerah Penjaga Gol Terbaik ABK 2022, Ahmad Syihan Hazmi turut tersenarai namun kali ini, dia bersama JDT sementara kategori Pertahanan Terbaik bakal menampilkan pemenang baharu memandangkan Shahrul Saad tidak tersenarai kali ini.

Kategori Pertahanan Terbaik turut didominasi JDT dengan tiga pemain mereka masing-masing Feroz Baharudin, La Ve’re Corbin-Ong dan juga Matthew Davies dan dengan prestasi JDT, satu antara mereka dijangka menang kategori ini.

Kategori pemain tengah terbaik menampilkan pemenang tahun lalu, Afiq Fazail yang bakal bersaing dengan dua rakan sepasukannya iaitu Endrick dan Hong Wan selain dua pemain SFC iaitu Brendan Gan dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Kategori Jurulatih Terbaik menampilkan nama-nama popular seperti Nafuzi Zain (KDA FC) yang memenangi gelaran itu bersama TFC pada musim lalu, Datuk Ong Kim Swee (Sabah FC), Fandi Ahmad (SPFC) dan Tan Cheng Hoe (SFC).

sumbeR:- BH

Jurulatih JDT, Esteban Solari turut tersenarai dan berdasarkan prestasi pasukannya yang merangkul semua trofi domestik, dia menjadi calon pilihan untuk memenangi kategori ini.