sukan

Kedah akhiri penantian 7 tahun

Pasukan Kedah mengakhiri kemarau tujuh tahun apabila akhirnya layak ke saingan suku akhir Piala Emas Raja-Raja 2023.

Kejayaan itu selepas mereka muncul juara kumpulan C walaupun tewas 0-1 pada aksi terakhir kumpulan kepada Perlis pada aksi di Padang MADA Ampang Jajar petang semalam.

Sebelum ini, skuad kendalian Mohamad Khairul Ismail cemerlang menewaskan Selangor 2-0 dan Perak 2-1.

Selain Kedah, penyandang juara musim lalu Selangor yang berada pada kedudukan tangga kedua kumpulan dan turut memungut enam mata turut layak ke saingan suku akhir selepas menewaskan Perak 1-0 di Stadium Mini Jitra.

Menurut Khairul, beliau berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya dan berharap mereka mampu menyerlah pada saingan peringkat kalah mati.

“Saya rasa pemain patut berbangga dengan pencapaian layak ke suku akhir walaupun kami tewas pada aksi menentang Perlis. Namun apa yang penting adalah kami berjaya mencapai status juara kumpulan C.

“Walaupun saya rasa kita patut mendapat satu mata, namun saya tetap bersyukur kami berjaya melangkah ke suku akhir selepas tujuh tahun penantian dan saya harap pemain terus kekal fokus untuk menghadapi aksi lebih mencabar di saingan suku akhir nanti,” katanya.

Menyentuh persiapan aksi suku akhir yang akan berlangsung pada 4 dan 11 November ini, Khairul berkata akan melakukan beberapa perubahan taktikal berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.

sumber:- BH

“Bab cuaca ni kita tidak boleh jangkakan dan ketika ini kami masih berlatih dengan taktikal seperti biasa. Namun jika berdasarkan faktor cuaca seperti hujan lebat, maka kami perlu melakukan beberapa perubahan dan saya akan pelbagaikan taktikal yang diperlukan pasukan,” katanya.